ADAKAH anda sering gagal membayar ansuran bulanan kenderaan, sewa rumah, pinjaman bank, banyak bil utiliti yang tertunggak, hanya membuat bayaran minimum bagi kad kredit atau pernah menerima surat peguam akibat gagal membayar hutang?
Adakah anda terjerat dalam perangkap hutang atau dibelenggu dek bebanan hutang yang tiada kesudahan? Jika jawapannya, Ya, sudah tiba masanya anda bertindak untuk mencari jalan keluar dan bebas daripada hutang.
Sama ada anda wanita berkerjaya atau suri rumah sepenuh masa, kemungkinan untuk terlibat dengan hutang tetap wujud. Tidak dinafikan keperluan untuk berhutang bagi pembelian yang bernilai besar seperti rumah dan kenderaan adalah perlu. Hutang sebegini jika dibayar mengikut jadual yang ditetapkan, tidak akan menimbulkan masalah.
Namun ada segelintir wanita yang sanggup berhutang asalkan dapat memiliki sesuatu mengikut trend. Lumrah wanita suka pada kecantikan dan sanggup berbelanja besar untuk kelihatan menarik.
Daripada pakaian, aksesori hingga hiasan rumah sering menawan hati wanita. Niat untuk menyokong bisnes kawan-kawan dengan cara membeli produk yang dijual juga antara punca wanita terjebak dalam hutang.
Kemudahan bayaran secara ansuran atau beli dahulu bayar kemudian yang ditawarkan oleh penjual mudah mempengaruhi wanita untuk membeli. Akibatnya mereka menambahkan lagi hutang yang sedia ada.
Begitu juga dengan penggunaan kad kredit tanpa disiplin serta seliaan yang betul boleh menggalakkan budaya berhutang yang boleh menjurus kepada muflis kerana gagal menjelaskan hutang tertunggak berserta kadar faedahnya sekali.
Sebagai wanita yang bijak, kita perlu tahu merancang dan mengurus perbelanjaan agar wang yang diterima setiap bulan tidak habis begitu sahaja. Perbelanjaan yang tidak dirancang menyebabkan anda sentiasa tidak cukup wang sehingga tiada lebihan untuk simpanan kecemasan.
Sebenarnya anda boleh merancang perbelanjaan bulanan dan menentukan sendiri had perbelanjaan. Caranya adalah dengan mengutamakan perbelanjaan yang perlu dan penting sahaja. Uruskan komitmen kewangan yang sedia ada termasuk membayar hutang. Jangan ditangguhkan atau mengelak daripada melunaskannya agak tidak tertunggak.
Seboleh-bolehnya beli secara tunai. Hentikan dan elakkan pembelian secara berhutang bagi perkara yang tidak perlu. Jauhkan sikap ‘biar papa asal bergaya’ sehingga anda benar-benar mampu.
Hiduplah berdasarkan kemampuan serta beli mengikut keperluan, bukannya menurut keinginan. Jika perlu menggunakan kad kredit, pastikan anda membayar penuh atau mengambil pilihan bayaran ansuran tanpa faedah.
Anda boleh mulakan tabiat menyimpan wang, walaupun sedikit asalkan konsisten. Simpan baki duit belanja anda setiap hari ke dalam sebuah tabung khas. Pada hujung bulan, wang yang terkumpul boleh dipindahkan ke dalam akaun simpanan.
Jumlahnya mungkin tidak besar tetapi bak kata pepatah, ‘sedikit-sedikit lama-lama jadi bukit’.
Pakar kewangan menyarankan sebaik-baiknya simpan 10 peratus daripada pendapatan pada setiap bulan. Jumlah ini seharusnya ditingkatkan lagi sekiranya anda memperoleh wang tambahan misalnya daripada bonus atau pendapatan sampingan yang lain.
Anda juga boleh mendisiplinkan diri untuk menyimpan dengan mencarum dalam pelan Takaful simpanan atau berkaitan pelaburan yang memerlukan anda memperuntukkan jumlah yang tetap untuk satu tempoh yang dipersetujui.
Apabila mencarum dalam takaful anda bukan sahaja boleh meningkatkan simpanan atau dana pelaburan anda malah mendapat perlindungan seperti pampasan bagi sesuatu musibah serta manfaat kewangan lain yang tertakluk kepada pelan tersebut.
Ini kerana, sebahagian daripada caruman anda akan diperuntukkan ke dalam simpanan atau unit pelaburan manakala sebahagian lagi di dalam perlindungan.
Kini, instrumen pelaburan lain seperti unit amanah dan pinjaman ASB juga mempunyai perlindungan takaful yang memastikan pelaburan anda tetap berterusan walaupun anda menghadapi musibah.
Bagi wanita yang belum terperangkap cubalah mengelak daripada berhutang kerana akibatnya amat buruk kepada diri sendiri dan keluarga.
Belenggu hutang jika dibiarkan berlarutan boleh menggugat kebahagiaan rumah tangga, menimbulkan tekanan perasaan, diisytiharkan bangkrap malah keselamatan diri dan keluarga diancam jika meminjam daripada peminjam yang tidak berlesen.
Apabila diri tidak terbeban dengan hutang kita dapat menyimpan atau menabung untuk keperluan pada masa depan atau sekiranya berlaku kecemasan. Kesedaran dan semangat  untuk membebaskan diri daripada belenggu hutang perlu ada pada setiap wanita. Semoga tahun 2017 yang bakal tiba menjadi tahun bebas hutang untuk anda.