KUALA ROMPIN – Pembayar zakat pendapatan dan perniagaan yang layak diminta memanfaatkan tahun 2016 yang berbaki lebih seminggu sahaja sebelum masuk 2017 untuk membuat bayaran di Pusat Kutipan Zakat (PKZ) berhampiran.
Pegawai Zakat Daerah Rompin, Mohd Farid Mohd Ramly, berkata, bagi pembayar zakat pendapatan perlu merebut peluang yang ada kerana pembayar akan diberikan rebat cukai pendapatan sebanyak 100 peratus.
Beliau berkata, bagi zakat perniagaan pula daerah Rompin merupakan antara kawasan yang banyak memajukan tanah untuk dijadikan ladang sawit namun mereka seolah-olah alpa atau tidak tahu bahawa ia tertakluk mengikut zakat penghasilan.
Menurutnya, bukan sekadar ladang sawit sebaliknya turut melibatkan ladang getah, sayur-sayuran, buah-buahan dan ternakan dalam kapasiti tertentu yang dikenakan zakat sebanyak 2.5 peratus setahun.
“PKZ memberi peluang kepada pembayar zakat untuk membuat bayaran sebelum habis tahun ini di mana-mana cawangan selain pejabat juga akan beroperasi pada 26 dan 31 Disember bagi memudahkan pembayar.
“Ruang yang diberikan ini perlu direbut oleh mereka yang layak terutama pengusaha ladang sawit yang banyak di daerah Rompin ini supaya hasil pendapatan yang diperoleh lebih berkat,” katanya.