LAGOS - NIGERIA. Lebih 100 bungkusan berisi beras palsu yang diseludup dari China dirampas oleh pihak kastam di Lagos, Isnin lepas.
Menurut laporan Shanghaiist, penipu mengambil kesempatan menjual beras palsu yang diperbuat dari plastik dan bahan lain untuk mengambil kesempatan ke atas harga beras yang tinggi di Nigeria.
Siasatan mengatakan setiap beg yang berisi 50 kilogram beras palsu berkenaan berjenama 'Best Tomato Rice' tetapi tiada maklumat pengilangan.
Kerajaan tempatan pula mengeluarkan amaran kepada orang ramai supaya tidak memakan nasi yang dimasak menggunakan beras-beras tersebut.
"Sebelum ini saya cuma dengar khabar angin mengenai beras plastik tetapi kini saya betul-betul percaya," kata seorang pegawai Kastam Nigeria.
Kata pegawai tersebut, beras tersebut melekit apabila dimasak.
"Hanya Tuhan sahaja yang tahu apa akan berlaku apabila kita memakannya," kata pegawai tersebut lagi.
Beras plastik sebelum ini dijual di beberapa negara Asia termasuk India, Indonesia dan Vietnam.
Walaupun rupanya seperti beras tulen, hakikatnya ia diperbuat daripada campuran kentang, kentang manis dan resin sintetik.
Pakar kesihatan mengatakan pengguna akan mengalami komplikasi serius jika memakan beras palsu tersebut.