KOTA BHARU - Seorang daripada dua suspek lelaki ditahan dalam serbuan ke atas sebuah kereta berhampiran sebuah stesen minyak di Kampung Tepi Sungai, dekat sini, kelmarin, dikehendaki polis bersabit kes rogol membabitkan kanak-kanak berusia 12 tahun di Gua Musang, minggu lalu.
Dalam kejadian jam 5 petang itu, suspek berusia 27 tahun dari Chiku 3, Gua Musang yang memandu kereta Proton Iswara ditahan bersama penumpang berusia 34 tahun oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Tanah Merah.
Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Din Ahmad berkata, selain dikehendaki bersabit kes rogol, semakan mendapati suspek terbabit mempunyai enam rekod lampau berkaitan dadah dan satu rekod jenayah di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.
“Semakan repot tangkapan ke atas penumpang yang beralamat di Kampung Batu Hitam, Tanah Merah, mendapati suspek mempunyai enam rekod jenayah termasuk kes ragut dan empat rekod berkaitan dadah,” katanya, di sini, semalam.
Sinar Online dalam laporannya beberapa jam selepas kejadian melaporkan, polis terpaksa melepaskan satu das tembakan ke arah tayar kereta terbabit selepas suspek bertindak agresif dalam cubaan melepaskan diri.
Sebelum ditahan, melanggar dua kereta Proton Waja dinaiki pasukan serbuan yang menghimpit kenderaannya.
“Anggota serbuan kemudian bertindak pantas memecahkan cermin hadapan, cermin sisi sebelah pemandu dan cermin belakang sebelum kereta suspek dapat dihentikan.
“Kedua-dua suspek cuba untuk melarikan diri dan berlaku pergelutan sebelum berjaya ditahan,” jelasnya.
Din memberitahu, susulan tangkapan itu, pihaknya merampas sebilah pedang berukuran 69 sentimeter (cm) panjang, sebilah pisau sepanjang 28cm, sebilah pisau lipat sepanjang 17.5cm, satu telefon bimbit Nokia N8 serta kad pengenalan dan pasport milik suspek.
“Polis turut merampas lima pil erimin 5, dua pil yaba, satu tiub straw mengandungi heroin dan satu tiub straw mengandungi hablur kristal.
“Suspek yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan. Ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif amphetamine,” katanya.
Tambahnya, kes disiasat mengikut Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan Dan Senjata Berbahaya 1958 (ABKLSB), Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam dan Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952.