SEOUL - KOREA SELATAN. Syarikat penerbangan Korean Air Lines akan membenarkan anak kapal untuk menggunakan 'stun gun' bagi menguruskan penumpang berkelakuan ganas selain mengambil lebih ramai pembantu penerbangan lelaki.
Garis panduan baharu yang diumumkan semalam juga termasuk mengadakan lebih banyak latihan, menggunakan peranti terkini untuk mengawal penumpang dan melarang penumpang dengan sejarah tingkah laku sukar dikawal daripada menaiki pesawat.
Presiden Korean Air, Chi Chang-hoon berkata, pramugara lelaki adalah satu persepuluh daripada wanita dan pihaknya akan cuba meletakkan sekurang-kurangnya seorang lelaki bertugas dalam kabin bagi setiap penerbangan.
"Walaupun penerbangan Amerika Syarikat mengambil tindakan tegas ke atas tingkah laku ganas di dalam penerbangan berikutan serangan 11 September 2001, syarikat penerbangan Asia termasuk kami tidak berbuat demikian kerana budaya Asia.
"Kami akan menggunakan insiden terbaru 20 Disember lalu di mana seorang lelaki menyerang anak kapal dan penumpang secara tiba-tiba sebagai faktor utama untuk mengutamakan keselamatan dan mengukuhkan standard keselamatan kami," katanya.