JERANTUT - Mungkin ramai khususnya golongan muda tidak mengenali siapakah itu Pawang Nong, atau nama sebenarnya Haji Nong Taib Santan.
Masyarakat biasa didendangkan dengan nama pahlawan Tanah Melayu seperti Mat Kilau dan Tok Gajah, namun masih belum ‘biasa’ dengan nama Pawang Nong.
Namun bagi mereka yang tahu dan mengikuti sejarah pejuang Melayu zaman Jepun dan komunis, tokoh sejarah ini dikenali dengan bentuk fizikalnya berketinggian sekitar 5 kaki 3 inci, berdada tegap, dan mempunyai senyuman yang tidak pernah lekang di bibir.
Malah penduduk Kampung Ulu Cheka menggambarkan pahlawan ini bukan sahaja seorang yang peramah, malah beliau sangat sukakan kanak-kanak.
Menjejaki sejarah Pawang Nong bukanlah sukar kerana makamnya ditempatkan bersebelahan dengan Masjid Kampung Ulu Cheka, Jerantut.
Pawang Nong dilahirkan pada tahun 1874 di Kampung Sempiat, Tanjung Besar, Benta dan beliau merupakan individu yang bertanggungjawab membuka Kampung Ulu Cheka bersama tujuh rakannya.
Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Ulu Cheka, Nazri Che Husin yang juga cucu saudara Pawang Nong sendiri memberitahu, dia sempat bertemu dengan Tok Pawang Nong (gelaran untuk Pawang Nong) sebelum pahlawan itu meninggal dunia.
Menurutnya, Pawang Nong bersahabat baik dengan pahlawan terkenal Mat Kilau, namun mempunyai sejarah perjuangan yang agak berbeza.
“Mat Kilau berjuang menentang penjajah, namun bagi Pawang Nong, perjuangannya menentang tentera Jepun dan komunis.
“Pawang Nong beranikan diri meadakan rundingan dengan Pesuruhjaya British bagi dapatkan bantuan senjata untuk diberikan kepada penduduk supaya mereka dapat menentang tentera Jepun dan komunis ketika itu.’,” katanya.
Menurutnya, hasil dari rundingan itu, penduduk Ulu Cheka dibekalkan senjata dan ditubuhkan pasukan homeguard sebagai pertahanan kampung  termasuk untuk keluar membeli makanan di Kampung Damak, Kuala Lipis dan juga Kuala Kubu, Selangor.
Bercerita lanjut tentang kehebatan Pawang Nong, Nazri memberitahu, beliau memiliki ilmu persilatan yang tinggi iaitu ilmu silat cekak yang kini dikenali sebagai silat seni Melayu Pahang.
Katanya, kehebatan seni silat Pawang Nong dikenali umum sehinggakan ramai yang bertemunya untuk berguru.
“Pawang Nong juga sering jadi tempat rujukan termasuk dari kalangan pemimpin dan pembesar antaranya Perdana Menteri pertama, Tunku Abdul Rahman  dan juga sultan ketika itu, Sultan Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mutasim Billah Shah,” katanya.
Beliau berkata, Pawang Nong mendapat gelaran Pawang bukan sahaja kerana ilmunya yang dikatakan boleh mengubati orang namun atas pelbagai pengetahuan yang dimilikinya.
Nazri juga berkata, Pawang Nong terlibat dengan tiga peperangan bersama tentera Jepun dan Komunis sekitar tahun 1948 sehingga tahun 1952 iaitu peperangan di Terbol, Bukit Batu dan di Perlok di mana peperangan di Perlok adalah peperangan yang paling hebat ketika itu.
Penglibatan Pawang Nong dalam peperangan di Perlok diceritakan dalam buku bertajuk Askar Melayu 50 Tahun tulisan Tan Sri Abdul Samad Idris.
Atas kehebatan menentang penjajah Jepun dan komunis beliau diberi pengiktirafan menerima pingat British Empayar Medal (BEM) yang dihantar sendiri Jeneral Sir Gerald Templer selain menerima pingat Ahli Mangku Negara (AMN) dan Pingat Jaksa Kebaktian (PJK) daripada Kerajaan Persekutuan serta Pingat Kelakuan Terpuji (PKT) dari Pahang
.