SUNGAI SIPUT (U) -  Pekan kecil Karai di Sungai Siput sebelum ini mungkin terkenal dengan Jambatan Victoria yang berusia lebih 115 tahun.
Namun, siapa sangka, di sebalik rimbunan pokok di atas bukit, tersergam satu lagi khazanah dipercayai dibina hampir sama tarikhnya dengan Jambatan Victoria.
Rumah agam berkonsepkan seni bina Inggeris di belakang Sekolah Agama Rakyat Ad-Dinniyyah sebelum ini mungkin tidak begitu dipedulikan.
Begitu pun, pencinta monumen bersejarah, Siti Norlizawati Narawi, 43, mengambil inisiatif membersihkan bangunan itu bersama beberapa agensi lain dalam usaha mempromosikannya.
Menurutnya, tidak mustahil sekiranya bangunan ini mampu menjadi ikon di Karai seperti Kellie’s Castle menjadi lokasi tumpuan di Batu Gajah.
“Struktur bangunan ini unik kerana seakan menggabungkan seni bina Inggeris dan China. Malah, jika di perhati dengan mendalam, kita dapat lihat bentuk naga secara abstrak di bangunan ini.
“Bentuk naga seperti itu sangat digemari pelancong dari China kerana mereka merasakan ia ada feng shui baik.
“Mungkin pihak berkaitan boleh mempertimbangkan untuk membuat pakej melawat dua tempat, Jambatan Victoria dan bangunan ini kerana jaraknya tidak jauh,” katanya.
Dalam pada itu, penduduk tempatan, Zainuddin Kassim, 80, berkata, bangunan itu mempunyai banyak sejarah malah pernah digunakan tentera Jepun sebagai ibu pejabat mereka.
Menurutnya, rumah itu asalnya dimiliki bangsawan dikenali sebagai Datuk Setia sebelum dia meninggalkannya ketika Jepun mencerobohi Malaysia pada 1941.
“Waktu itu, ramai orang Melayu lari keluar dari kampung sebab takutkan tentera Jepun. Ada meriam diletakkan di hadapan bangunan ini dulu, tapi sekarang tak ada yang tahu ke mana hilangnya.
“Selepas Jepun meninggalkan Malaysia, bangunan ini pernah dijadikan penempatan sementara untuk anggota polis sebelum berek mereka disiapkan.
“Akhir sekali, bangunan ini dijadikan sekolah agama pada tahun 1980an sebelum ditinggalkan begitu saja pada 2004 apabila sekolah itu berpindah ke bangunan baru,” katanya.
Zainuddin berkata, sebagai penduduk asal di kampung itu, sudah semestinya usaha memulihara bangunan itu disambut baik kerana ia mempunyai sejarah tersendiri.
“Jika meronda seluruh pekan Karai, rasanya memang tak ada bangunan lain yang ada reka bentuk seperti bangunan ini. Boleh dikatakan, bangunan ini hanya satu di sini,” katanya.