MENGIMBAU drama bersiri seram, Susuk yang popular kira-kira 10 tahun lalu, pasti ramai yang mengingati wajah pelakon Dynas Mokhtar.
Memegang watak Cinda, seorang wanita yang memakai susuk bagi mengekalkan kecantikannya, mungkin ramai masih ingat adegan Cinda yang sentiasa melarikan diri daripada diburu dukun bernama Degawan lakonan Kazaruddin Saisi.
Drama itu mempopularkan Dynas apabila banyak produksi menawarkannya berlakon drama atau filem mereka.
Selepas drama berkenaan, Dynas ditawarkan berlakon dalam Gerak Khas, Awan Dania dan Impak Maksima.
Namun sejak beberapa tahun kebelakangan ini, jarang sekali Dynas muncul di kaca televisyen. Kalau ada pun, kebanyakan drama yang sudah di ulang siar beberapa kali.
Mengulas perkara tersebut, Dynas mengakui agak sibuk menguruskan syarikat perniagaannya, Dynas Nursering Attire (DNA) yang ditubuhkan kira-kira lima tahun lalu.
“Alhamdulillah, perniagaan saya semakin baik. Jenama pakaian DNA semakin mendapat perhatian dan saya sangat bersyukur dengan perkembangan ini.
“Pada tahun lalu, saya melancarkan Syampom by Dynas Mokhtar, iaitu rangkaian pakaian kanak-kanak untuk usia setahun hingga 12 tahun,” kata pengacara Si Kecil Ku Chak! itu.
Buah tangan terbaru
Dynas atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar berkata, dia kini sudah bersedia kembali beraksi di pentas lakonan.
Terkini, Dynas agak sibuk menjalani beberapa filem dan drama, ini menjadi salah satu faktor dia kurang tampil di televisyen.
“Saya juga baru sahaja habis menjalani penggambaran filem Tombiruo Penunggu Rimba. Insya-ALLAH, beberapa filem saya akan ditayangkan tahun ini.
“Sekarang, saya sedang menjalani penggambaran filem Bukan Cinta Malaikat bersama Aziz M. Osman dan Nora Danish serta drama Cik Serba Tahu bersama Sari Yanti.
"Tambahan lagi, saya mungkin turut serta dalam beberapa filem lagi tahun ini,” kata pelakon cantik ini.
Bercerita lanjut, pemenang Pelakon TV Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian itu berkata, tahun ini mungkin menjadi antara detik paling sibuk menjadi seorang anak seni dan juga ahli perniagaan.
Justeru itu katanya, dia akan membahagikan masa dengan sebaik mungkin bagi memastikan dua karier berbeza itu dapat diuruskan sebaik mungkin di samping menjaga keluarga tersayang.