SELEPAS lima hari berdepan pencemaran udara yang teruk, langit biru kembali menyelimuti ibu negara China sekali gus menggesa Jabatan Perlindungan Alam Sekitar Beijing menarik balik amaran merah yang dikeluarkan di negara itu
Amaran pencemaran tertinggi atau amaran merah pertama dalam tahun ini berkuat kuasa pada jam 4.30 petang (waktu tempatan) pada 16 Disember lalu. Ketika itu Indeks Kualiti Udara dicatatkan pada tahap berbahaya, 466.
Sehari selepas amaran merah dikeluarkan, kerajaan mengarahkan 1,200 kilang berhampiran ibu negara termasuk sebuah kilang penapisan minyak utama untuk menutup atau mengurangkan pengeluaran.
Selain mengarahkan kilang untuk menghentikan sementara operasi, kerajaan juga mengarahkan sekolah ditutup selain menghalang separuh kenderaan berada di jalan raya.
Sehingga tengah hari pada Jumaat, 22 Disember, kualiti udara adalah 72 sekali gus bermakna sekatan kecemasan ke atas penggunaan kenderaan dan pembinaan akan berakhir.
Bagaimanapun, seminggu selepas itu kerajaan memberi amaran bahawa bahagian utara China perlu bersedia untuk mengambil tindakan kecemasan kerana negara sekali lagi bakal diancam jerebu tebal.
Kementerian Perlindungan Alam Sekitar memberitahu, keadaan cuaca buruk dijangka melanda wilayah Hebei, Shahdong dan Henan serta diramalkan berterusan sehingga 5 Januari.
Bagi mengatasi masalah itu, kementerian akan menghantar 10 pasukan pemeriksaan untuk melaksanakan langkah keselamatan bagi melumpuhkan syarikat yang terlibat dalam perbuatan haram terbabit.
Bagaimanapun, bacaan tinggi masih direkodkan di beberapa bahagian di utara China termasuk bandar Tianjian, terletak bersebelahan dengan Beijing dan wilayah Hebei yang mengelilingi ibu negara.
China memulakan perang ke atas pencemaran sejak 2014 di tengah-tengah kebimbangan bahawa industri berat boleh mencemarkan reputasi global dan sekali gus menjejaskan pembangunan masa depan.
Malah, pencemaran udara telah menjadi isu utama di China selain menimbulkan ancaman kesihatan awam.
Pada tahun 2012, Presiden Persatuan Perubatan China, Zhong Nanshan memberi amaran bahawa pencemaran udara boleh menjadi ancaman kesihatan terbesar di negara itu dan menggesa penyelidikan epidemiologi terperinci.