KOTA BHARU - Syarikat Ekspres Perdana menyerahkan sebuah bas ekspres bagi memudahkan anak-anak yatim, Yayasan Kebajikan Anak Yatim Kelantan (Yaatim) berulang-alik ke sekolah dengan asrama.
Pengarah Urusan Ekspres Perdana, Laili Ismail berkata, bas berkenaan diberi dalam program tanggung jawab sosial korporat (CSR) syarikat itu untuk menjaga kebajikan lebih 200 pelajar yang menghuni Yaatim, Taman Sabariah, Pengkalan Chepa.
“Sumbangan kali ini adalah usaha kedua dilakukan syarikat ini, yang mana sebelum ini kami sudah berikan sebuah bas kepada sekolah agama di Alor Star, Kedah pada 2014.
“Memandangkan Yaatim sudah mempunyai permit khas untuk kegunaan harian anak-anak yatim berkenaan,  bas ini memudahkan mereka untuk berulang-alik ke sekolah atau membuat lawatan,” katanya kepada selepas Majlis Penyerahan Kunci Bas Lienadia di Yaatim, di sini, semalam.
Turut hadir, Pengerusi Yaatim, Datuk Dr Abdul Razak Kechik.
Laili berkata, sehingga kini syarikatnya memiliki 70 bas persiaran dan pengangkutan yang beroperasi ke setiap destinasi seluruh negara.
Sementara itu, Abdul Razak berkata, Yaatim memerlukan dana kira-kira RM3 juta setahun untuk perbelanjaan dan pengurusan anak yatim yang tinggal di asrama.
“Anak yang tinggal di asrama Yaatim ini bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tanjong Mas yang berjarak kira-kira dua kilometer,” katanya.