WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Ucapan perasmian Presiden, Donald J Trump didakwa diadaptasi daripada filem blockbuster terkenal, 'The Dark Knight Rises', lapor Huffington Post.
Ucapan perasmian Trump semalam telah dimuat naik di media sosial dan orang ramai mula menyedari bahawa ia seperti pernah didengar sebelum ini.
Setelah disiasat, nyata ucapan Trump itu hampir serupa dengan ucapan penjahat terkenal Bane dalam filem tersebut apabila dia mengambil alih kota Gotham.
Di dalam ucapan Trump, beliau mengatakan bahawa pemindahan kuasa ini bukanlah berdasarkan satu pentadbiran ke pentadbiran yang lain tetapi memberikan kuasa kembali kepada rakyat.
"Majlis ini mempunyai makna yang sangat istimewa kerana ia bukanlah semata-mata memindahkan kuasa dari satu pihak ke pihak lain tetapi kita memindahkan kuasa dari Washington kembali kepada rakyat.
"Sudah lama sebilangan kecil orang yang meraih ganjaran di sebalik penat lelah rakyat  selama ini, negara kita kaya tetapi rakyat tidak dapat berkongsi kekayaannya, ahli-ahli politik bertambah kaya namun penduduk tiada pekerjaan serta kilang-kilang turut ditutup," katanya.
Selain itu, Trump turut menekankan bahawa era pemerintahannya akan menyaksikan perubahan dan semua bermula dengan rakyat negara itu.
"Kemajuan ini hanya melindungi orang berkepentingan dan tidak rakyat negara kita, kemenangan mereka bukanlah kemenangan kita.
Oleh itu, perubahan akan bermula di sini dan masa kini adalah masa anda semua. Ia milik anda semua," katanya lagi.


Sementara itu, di dalam ucapan penjahat Bane di dalam filem itu juga turut menekankan bahawa mereka mengambil kota Gotham tersebut daripada para penindas dan kota tersebut adalah milik penduduk.
"Kami mengambil Gotham dari perasuah, orang kaya dan para penindas dari generasi yang sering menjatuhkan rakyat dan kembalikan semula kepada anda kerana bandar ini adalah milik rakyat, mereka tidak berhak campur tangan, lakukan sesuka hati dan terus melangkah ke hadapan.
"Para tentera akan dikumpulkan, yang berkuasa akan dilumpuhkan dan pihak polis akan belajar berkhidmat di bawah keadilan yang sejati, Gotham akan terus hidup," katanya.
Sementara itu, dalam ucapan susulan angkat sumpah pada hari sama, beliau menetapkan perang terhadap pengganas sebagai dasar luar utama beliau sebagai pemimpin baharu negara itu.

Beliau dilaporkan mengangkat sumpah janji bekerjasama dengan negara sekutu memusnahkan ancaman pejuang jihad.