MENJEJAKKAN
 kaki ke pondok di pekarangan rumah seorang pandai besi di Kampung Manan, Tendong di sini, umpama berada di ‘mini muzium’.
Saat melangkah masuk, mata tertumpu kepada susun atur pelbagai barangan antik yang memenuhi segenap ruang di dalam pondok berkenaan.
Melihat kepada koleksi terdapat dalam pondok itu, hati terdetik kagum dengan usaha Mohd Zaki Hussin, 51, mengumpul barangan tersebut dan menggambarkan betapa tinggi cintanya terhadap barangan antik.
Mohd Zaki berkata, minat mengumpul barang antik timbul selepas dia menjadi pembantu kepada bapa mertuanya, Ibrahim Ismail juga seorang pandai besi.
Katanya, bermula dari situ minat tersebut bercambah dan kini dia mempunyai lebih 1,000 koleksi barangan antik.
“Antara barangan antik yang ada ialah alat timbangan, lembing, keris, cekati, duit syiling, kandaran, dan tetuan termasuklah alat kukur kelapa,” katanya.
Menurutnya, ada juga barangan tersebut dibeli untuk dijadikan sebagai koleksi kerana minat.
Tidak gelap mata
Bagi Mohd Zaki, hobi mengumpul barangan antik dan purba merupakan aktiviti tinggi nilai seninya, selain memberi kepuasan maksimum terhadap setiap penggemar.
Katanya, minat mendalam membuatkan dia tidak pernah gelap mata terhadap pelbagai tawaran lumayan pembeli yang mahu mendapatkan barangan tersebut.
Ini kerana katanya, barang-barang itu mempunyai nilai tersendiri.
“Barang-barang antik ini saya kumpul sejak zaman muda dan saya sama sekali tak akan menjualnya biarpun ada tawaran harga tinggi,” katanya.
Tambahnya, dia berhasrat membuka sebuah mini galeri yang boleh menempatkan kesemua khazanah berkenaan.
“Harapan saya supaya semua barang-barang ini dapat dipamerkan kepada umum untuk tontonan generasi akan datang.
“Sayang kalau barang yang bernilai dibiarkan begitu saja,” katanya.
Pandai besi
Selain mengumpul barang antik dan purba, Mohd Zaidi turut mempunyai kemahiran dalam pertukangan besi.
Katanya, ilmu pertukangan itu diwarisi daripada Allahyarham bapa mertua yang merupakan pandai besi terkenal di Kampung Manan.
“Kemahiran ketukangan besi ini menambahkan lagi cinta saya terhadap barang antik dan purba.
“Ini kerana ketukangan besi mempunyai hubung kait terutama dalam penghasilan senjata seperti keris, lembing dan parang,” katanya
.