JITRA - Kegiatan sekumpulan remaja yang mencuri dan merelai motosikal di sekitar daerah Kubang Pasu sejak September tahun lalu tumpas berikutan penahanan tiga ahli kumpulannya dalam serbuan berasingan di sini.
Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Abd Hadi Hassan berkata, kumpulan berkenaan melerai dan membuang rangka motosikal curi ke dalam sungai sementara enjin dan komponen motosikal ditawarkan dengan harga murah melalui kumpulan sembang 'Jual Beli Barang Motor' di dalam aplikasi Wechat.
“Kegiatan kumpulan berkenaan yang terkenal dengan Geng Azani Gelong tumpas setelah suspek menunjukkan sungai yang menjadi lokasi mereka membuang rangka motosikal curi selama ini.
“Khamis lalu, sepasukan Polis Marin Pulau Pinang menjalankan operasi mencari di dasar Sungai Gelong, Sungai Tandop Batu 17, Tunjang dan Sungai Pulau Nyiur serta membawa kepada penemuan empat buah rangka motosikal di dalam sungai-sungai berkenaan,” katanya, semalam.
Menurutnya, selain itu suspek turut mengaku setakat ini telah melerai dan membuang 11 rangka motosikal yang dicuri ke dalam sungai.
“Sementara itu, satu enjin dan sepasang rim motosikal turut dirampas di rumah suspek di Jalan Gelong Rambai, di sini.
 “Mereka dipercayai melakukan kegiatan curi motosikal dengan menggunakan pemutar skru serta mencungkil lampu hadapan dan mencabut wayar untuk menghidupkan enjin motosikal,” katanya.
 Abd Hadi berkata, semua suspek yang berusia 17 hingga 20 tahun itu ditahan pada 20 Februari lalu dan hasil saringan ujian air kencing mendapati kesemua mereka positif dadah jenis Methaphetamin.
 “Semua suspek tidak bersekolah dan kini masih ditahan reman hingga 28 Februari depan bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 379 A Kanun Keseksaan kerana mencuri motosikal,” katanya.