GUANGDONG - CHINA. Cubaan seorang wanita di Selatan China membunuh diri dengan terjun sungai gagal kerana berat badannya menyebabkan dia tidak tenggelam sehinggalah diselamatkan, lapor media tempatan.
Wanita yang identitinya tidak dikenali cuba membunuh diri dengan terjun ke sungai di Zhongshan, wilayah Guangdong menurut di Nanfang Daily.
Penyelamat tiba di lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan dari nelayan berdekatan yang melihat wanita itu terapung di laluan yang sibuk dengan kapal dan tongkang besar.
Anggota keselamatan cuba mengheret mangsa dekat dengan bot penyelamat menggunakan tali namun bergelut untuk memakaikannya dek kerana saiz wanita itu.
Berat badan itu juga menyebabkan badannya terapung di dalam air dan memudahkan penyelamat mencari mangsa.
Wanita itu berada dalam keadaan sedar dan dibawa ke hospital.
Sementara itu, laporan South China Morning Post memetik seorang lelaki yang didakwa sebagai rakan kepada mangsa berkata, wanita itu berasal dari Sichuan namun tidak mengetahui sebab kenalannya itu cuba membunuh diri.