BERMULA esok, filem animasi Boboiboy The Movie akan mula ditayangkan di lebih 100 pawagan di Korea Selatan.
Memetik laporan media tempatan, karya terbitan Animonsta Studios Sdn Bhd, atau kini dikenali sebagai Monsta itu turut menjadi filem tempatan pertama berjaya menembusi pasaran negara terbabit.
"Kita biasanya mendengar hanya filem atau drama Korea yang dibawa masuk ke negara ini, namun jarang sekali ataupun belum ada filem Malaysia yang berjaya menembusi pasaran Korea Selatan.
"Justeru, perkembangan ini sesuatu yang boleh dibanggakan oleh industri perfileman tempatan, khususnya dalam sektor animasi negara," kata Ketua Penjenamaan dan Pemasarannya, Faiz Zainal Aabidin menerusi satu kenyataan petik BH Online, hari ini.
Filem animasi arahan Nizam Razak itu dihasilkan sepenuhnya di Malaysia dan Korea menjadi negara kelima menayangkan filem Boboiboy selepas Malaysia, Brunei, Singapura dan Indonesia.
Kutipan kasar untuk tayangan di empat negara terbabit sudah pun mencecah lebih RM19 juta.
Pihak Animonsta telah melantik syarikat Korea Selatan, Boxoo Entertainment, selaku pengedar di negara Korea.