Wednesday 3 May 2017

Kebanyakkan pengacara TV sekarang sampah! - Azwan Ali

Kelompok pengacara baharu Azwan sifatkan sebagai kelompok ‘patah kandar’. Tiada kelayakan mengacara tetapi dijulang stesen televisyen (TV) sebagai wajah pelaris berbakat hebat. Maka terbitlah sifat ego, lupa diri, perasan dan masalah disiplin yang mendorong terhadap kegagalan tanggungjawab dalam mengacara.

“Kebanyakan pengacara sekarang sampah! Biarkan mereka belajar daripada carutan terpaksa ini,” Azwan berterus-terang apabila diminta mengulas tentang senario pengacaraan masa kini.

“Saya perhatikan lambakan bintang yang mengecap populariti mendadak hanya kerana bergelar pengacara. Suka untuk saya mengingatkan bahawa tugas pengacara penuh dengan adab sopan.

“Sejak lima tahun kebelakangan ini, produk yang ditampilkan sebagai pengemudi acara amat mendukacitakan. Bukan saya sahaja yang mengkritik, malah ia turut diakui masyarakat.

“Kebanyakan siaran langsung atau program yang kononnya berprestij cenderung mengutip semua bintang yang tidak memiliki kepakaran untuk menjadi pengacara. Mereka diangkat bersandarkan populariti dan faktor rupa semata-mata.

“Tambah kritikal apabila mereka tidak disediakan skrip. Mereka diberi kebebasan untuk berjenaka dan merapu sehingga menjejaskan kredibiliti sesebuah rancangan atau acara,

“Bukan saya benci kepada bakat-bakat baharu. Malah hendak menyalahkan mereka pun barangkali tidak adil. Sebaliknya stesen TV dan pihak produksi perlu peka dan sensitif terhadap penetapan seseorang pengacara.

“Begitu juga dengan bintang-bintang komedi yang mendominasi pelbagai rancangan selaku pengacara. Memang mereka lucu dan menyelitkan jenaka dalam penyampaian, tetapi perlu berpada-pada. Ramai yang membuat lawak bodoh ketika siaran langsung sekali gus meranapkan prestij yang sepatutnya dipersembahkan.

“Impaknya menjejaskan banyak pihak. Anda sendiri dapat melihat kesannya kini. Bayangkan seorang ketua pegawai eksekutif stesen TV terpaksa terbang jauh demi untuk menyatakan permohonan maaf secara terbuka disebabkan kesilapan seorang pengacara.

“Tuhan beri petunjuk dengan satu insiden. Perlukah ia berulang dengan stesen TV lain baru kita hendak sedar?” pedas tetapi berisi peringatan Azwan kepada media Pepatung.

No comments:

Post a Comment