AMANAH Saham Nasional Berhad (ASNB), anak syarikat milik penuh Permodalan Nasional Berhad (PNB) mengumumkan pengagihan pendapatan sebanyak 6.30 sen seunit bagi Amanah Saham Malaysia (ASM) bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2016.
Pengerusi PNB, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid berkata, pembayaran pengagihan pendapatan itu melibatkan sejumlah RM1.027 bilion yang memberi manfaat kepada 536,862 pemegang membabitkan langganan sebanyak 16.298 bilion unit ASM.
“Jumlah pembayaran pengagihan pendapatan itu meningkat sebanyak 1.9 peratus berbanding RM1.008 bilion yang diperuntukkan tahun lalu.
“Meskipun menghadapi suasana pasaran yang mencabar dua tahun berturut-turut, prestasi tabung ASM sepanjang tahun kewangan ini masih memuaskan,” katanya pada sidang media pengumuman pengagihan pendapatan tabung ASM di Kuala Lumpur, semalam.
Ahmad Sarji berkata, sehingga 11 Mac 2016, tabung ASM memperoleh pendapatan kasar sebanyak RM1.26 bilion dengan keuntungan daripada penjualan saham dalam syarikat-syarikat menyumbang RM659.96 juta.
“Manakala pendapatan dividen daripada pelaburan dalam syarikat-syarikat menyumbang sebanyak RM423.66 juta dan selebihnya, RM180.01 juta pula diperoleh melalui pendapatan daripada pelaburan dalam instrumen jangka pendek,” katanya.
Tahun lalu, ASNB mengagihkan pendapatan ASM sebanyak 6.60 sen seunit.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan PNB, Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman berkata, penurunan agihan pendapatan itu selari dengan keadaan pasaran semasa.