KUALA TERENGGANU - Kelebihan mengubat pelbagai penyakit kronik selain gangguan makhluk halus dianggap sebagai satu anugerah paling bernilai oleh Mohamad Yong Awang, 56, atau lebih dikenali sebagai Pok Ali dalam kalangan penduduk setempat.
Menurutnya, setelah hampir 15 tahun terlibat dalam aktiviti mengubat pelbagai penyakit termasuk penyakit ‘ganjil’, kini jumlah pesakitnya semakin bertambah dan perkhidmatannya itu semakin dikenali.
Pok Ali berkata, dia sebenarnya tidak menyimpan sebarang niat sama ada untuk mempergunakan kelebihan yang dimilikinya untuk mengaut keuntungan semata-mata, sebaliknya lebih kepada niat untuk menolong mereka yang memerlukan.
“Alhamdulillah, saya anggap kelebihan yang diberikan kepada saya dengan berjaya mengubati pelbagai jenis penyakit termasuk melibatkan gangguan jin atau makhluk halus adalah anugerah yang amat bernilai.
“Cara saya berubat juga bergantung dan melihat kepada kondisi pesakit juga. Biasanya saya akan beri minum air yang telah dibacakan ayat-ayat suci al-Quran, Insya-ALLAH, penyakit yang ditanggung akan beransur sembuh,” katanya yang tinggal di Kampung losong Hj Shafie, di sini.
Kelebihan diwarisi daripada nenek moyang
Mohamad Yong berkata, cara dia mengubati pesakit juga mudah, dia tidak mengenakan pelbagai syarat, cukup sekadar pesakit membawa sebotol air dan bayaran mengikut seberapa banyak yang ingin diberikan.
“Biasanya, saya akan meminta pesakit menulis nama dan alamat pada sehelai kertas yang telah disediakan, kemudian, barulah saya memulakan sesi mengubat pesakit. Saya juga tidak menyentuh bahagian badan yang sakit, saya akan sentuh pada bahagian lain pada badan pesakit.
“Inilah cara yang saya warisi turun temurun daripada nenek moyang saya yang suatu ketika dulu memang terkenal dengan ilmu perubatan tradisional begini,” katanya.
Menurut Mohamad Yong, dia memang menyimpan cita-cita sejak kecil lagi untuk menimba ilmu daripada orang tua terdahulu untuk dipraktikkan semasa hayat masih ada, malah dia juga berharap kelebihan yang dimilikinya itu akan diperturunkan kepada anak-anaknya agar ia sentiasa berkembang.
“Sekarang dah jarang sangat orang yang tahu dan mahir dalam bidang ini malahan pada zaman sekarang ini,” katanya.
Bercerita lanjut mengenai bagaimana dia memperoleh ilmu itu, katanya, segalanya bermula apabila dia mendalami ilmu agama dan menuntut ilmu al-Quran serta beramal dengannya.
“Mulanya, saya sendiri mencuba untuk mengubati kaki saya yang terseliuh menggunakan ayat al-Quran, saya ada mendapat ilham menerusi mimpi bahawa seseorang memberitahu untuk menggunakan ayat itu untuk mengubati penyakit saya, setelah mencuba, Alhamdulillah, saya semakin sembuh.
“Selepas itu, saya berusaha sendiri untuk beramal dan mencuba untuk mengubati mereka yang memerlukan bantuan. Walaupun mendapat pelbagai rintangan termasuk dikhianati orang, saya tetap bertahan sehingga hari ini,” katanya.
Mohamad Yong berkata, dia menyediakan perkhidmatan mengubati penyakit kronik termasuk kanser, darah tinggi, kencing manis, gout dan lain-lain penyakit termasuk gangguan, saka, sihir serta santau.
“Setiap hari saya buka perkhidmatan ini dari jam 9 pagi hingga 9 malam. Pernah ada yang bertanya, hari apa yang tidak buka? Saya bertanya kembali, hari apa yang orang tidak boleh baca al-Quran?, maknanya, saya beroperasi setiap hari,” katanya.
Semakin siha selepas dirawat
Sementara itu, salah seorang pesakit yang menggunakan perkhidmatan Pok Ali, Mohd Rani Jusoh, 64, yang juga rakan lamanya berkata, dia tidak sangka pertemuan pertama setelah 17 tahun berpisah membolehkan dia mendapatkan rawatan bagi penyakit darah tingginya itu.
“Ini kali pertama saya jumpa dia selepas berpisah sejak 17 tahun lalu. Tak sangka pula dia ada kelebihan mengubat orang. Alhamdulillah, saya rasa semakin sihat dan harap dapat bergerak dan pulih seperti biasa," katanya.
Sementara itu, isterinya, Hasmah Muda, 61, berkata, dia mengalami sakit lutut dan sakit badan sejak setahun dan lalu dan berharap ikhtiar menggunakan perkhidmatan Mohamad Yong dapat mengembalikan kesihatannya.
“Saya juga rakna lama dia, sebelum ini kenal ketika dia berjiran dengan saya di Kampung Seberang Baroh. Dah macam-macam ikhtiar saya guna, kali ini saya harap akan berjaya ubat sakit lutut dan badan saya ini,” katanya.