Rosima menunjukkan dua jenis keropok keping yang mendapat permintaan tinggi dalam kalangan pelanggan yang berkunjung ke Kedai Keropok Kak Yati di Pengkalan Setar.
KUALA TERENGGANU – Selain musim perayaan, musim cuti sekolah juga menjanjikan pulangan lumayan buat peniaga keropok lekor dan keropok keping khususnya yang berada di Kampung Pengkalan Setar, di sini.
Salah seorang pengusaha keropok keping dari Kedai Keropok Kak Yah, Mohd Halimi Muhyiddin, 31, berkata, selepas mewarisi perniagaan bapanya sejak lima tahun lalu, musim cuti persekolahan dan hari raya akan memberikan pulangan berganda berbanding hari biasa.
“Kalau pada hari biasa, jualan pun agak perlahan kerana pelanggan terdiri daripada penduduk tempatan, musim cuti sekolah atau hari raya barulah jualan laris sedikit dalam sekali ganda.
“Jumlah pengeluaran keropok keping dibuat seperti biasa, namun, sekiranya ada permintaan tinggi kita akan dapatkan stok lebih daripada pengeluar lain,” katanya.
Mohd Halimi berkata, harga keropok keping yang dijual di kedainya juga hampir sama dengan kedai-kedai lain iaitu RM18 bagi sekilogram (kg) dan RM9 bagi 500 gram.
“Biasanya kita juga jual keropok yang siap dibungkus pada kuantiti 500g. Harga keropok sekarang mungkin ada kenaikan kerana bekalan ikan juga agak sukar diperoleh dan permintaan pun agak tinggi.
“Keropok yang kita hasilkan ialah keropok ikan tamban sisik, kita ada juga menjual keropok ikan parang dan jenis-jenis lain yang dibekalkan oleh pengeluar lain,” katanya.
Sementara itu, pekerja dari Kedai Keropok Kak Yati, Rosima Hamzah, 45, berkata, walaupun jualan pada musim cuti persekolahan meningkat sekali ganda berbanding hari biasa, namun, jualan pada musim cuti perayaan seperti Tahun Baharu Cina lebih meriah.
“Kalau musim cuti sekolah dan Hari Raya, pengeluaran keropok akan ditingkatkan lagi kerana pada waktu itu permintaan tinggi. Cuma sekarang, harga bagi keropok agak mahal sedikit kerana ikan sukar diperoleh dan harganya juga agak mahal.
“Harga ikan buat masa sekarang mencecah RM4 sekilogram dan ada juga yang jual RM3 sekilogram. Bergantung pada keadaan,” katanya.
Beliau berkata, walaupun harga keropok naik, pelanggan yang datang tetap sama kerana kualiti dan rasa keropok yang dijual di situ berbeza dari tempat lain.
“Ada dua jenis keropok yang mendapat permintaan tinggi iaitu bagi bungkusan 500gram dan 350gram yang dijual pada harga RM18 dan RM8. Jenis keropok berbentuk bulat dan kembang setelah digoreng juga mendapat permintaan dalam kalangan pelanggan.
“Walaupun terdapat perbezaan dari segi bentuk, rasa keropok yang dijual hampir sama,” katanya.
No comments:
Post a Comment