Timbunan ikan yang berjaya dinaikkan
DUNGUN - Sekumpulan penduduk yang menggunakan jala panjang berukuran kira-kira 150 meter untuk menangkap ikan berjaya menaikkan lebih satu tan ikan Jemedi, di pesisir pantai Teluk Lipat, di sini, semalam.
Aktiviti berkenaan membuatkan kawasan itu bagaikan pesta apabila orang ramai berpusu-pusu datang untuk melihat sendiri timbunan ikan di atas darat yang jarang-jarang boleh disaksikan
Lebih membuatkan orang ramai teruja apabila ikan-ikan yang banyak itu diberikan secara percuma dan mereka boleh mengambilnya seberapa banyak yang mungkin.
Bukan nelayan, hanya hobi
Salah seorang daripada kumpulan berkenaan, Saiffu Bakri Awang, 38, berkata, mereka bukan nelayan tetapi menangkap ikan bagaikan satu hobi dan pada masa yang sama mereka menyedekahkan semua hasil yang diperoleh kepada pengunjung serta orang ramai.
Menurutnya, aktiviti itu bukan kali pertama kerana sebelum ini kumpulannya sudah melakukannya di sekitar pantai berkenaan tetapi tangkapan kali ini amat memberangsangkan.
“Ini sudah masuk dua kali kami memukat menggunakan pukat panjang dan kami berhasrat menjadikannya sebagai aktiviti mingguan.
“Kami bukan nelayan dan bekerja dalam pelbagai bidang termasuk bekerja sendiri tetapi menangkap ikan seperti ini dijadikan sebagai hobi.
“Pagi ini (18 Mac) kami yang terdiri daripada 15 orang turun untuk menjala ikan di pantai Teluk Lipat dan aktiviti dimulakan sekitar jam 7.30 pagi.
“Hasilnya kami berjaya menaikkan ikan lebih satu tan dan sesiapa sahaja boleh mengambilnya.
“Biasanya jenis ikan Jemedi yang ditangkap dijadikan ikan kering
“Semakin lama semakin ramai pengunjung yang datang dan mereka boleh mengutip ikan seberapa banyak yang diinginkan
“Paling ramai yang datang sekitar jam 10.00 pagi sehinggalah tengahari dan pada sebelah petang orang ramai masih ada,” katanya kepada Sinar Harian.
Jadikan aktiviti mingguan
Kerana terlalu banyak hasil tangkapan yang berjaya dinaikkan ada segelintir mendakwa kejadian itu adalah petanda buruk dan dibimbangi berlakunya Tsunami.
Bagaimanapun, kumpulan berkenaan menafikan dakwaan yang mengatakan ikan-ikan berkenaan naik sendiri ke darat.
“Tiada fenomena ikan naik sendiri ke darat kerana kami yang menangkapnya menggunakan jala panjang dan besar.
“Tidak perlu sebarkan perkara tidak betul kerana ia boleh menimbulkan rasa panik kepada orang ramai.
“Bukan sahaja hari ini tetapi kami berhasrat meneruskan aktiviti ini pada setiap minggu dan orang ramai boleh mengambil peluang untuk mendapatkan ikan percuma,” katanya.
Dapat lebih tiga kilo ikan
Sementara itu, pengunjung, Norizan Salleh, 37 berkata, dia terkejut melihat orang ramai berada di kawasan itu dan menyangka ada sesuatu sudah berlaku.
“Saya datang dari Ajil dan kebetulan datang ke pantai ini.
“Saya tertanya-tanya kenapa terlalu ramai orang dan kemudian barulah tahu mereka mengutip ikan-ikan percuma yang diberikan oleh penjala.
“Walaupun ketika saya datang ikan sudah tidak banyak tetapi saya juga tidak mahu melepaskan peluang untuk sama-sama mengutipnya.
“Saya yang sudah ketinggalan pun mampu mengutip lebih tiga kilo ikan, inikan pula mereka yang awal-awal datang sudah tentulah lebih banyak,” katanya.
No comments:
Post a Comment