osmaizai bersama pekerjanya cekap menyiapkan minuman pelanggan.
KUALA TERENGGANU - Cuaca panas melampau akibat fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini turut mempengaruhi aktiviti niaga, terutamanya bagi peniaga air kecil-kecilan di sekitar bandar raya ini.
Tinjauan Sinar Harian di sekitar kawasan Pantai Batu Burok, di sini semalam mendapati, terdapat pelbagai gerai minuman yang dibuka di situ mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.
Salah seorang peniaga, Hisabudin Embong, 43, ketika ditemui berkata, perniagaan airnya mendapat sambutan luar biasa daripada sebelumnya ekoran daripada keadaan cuaca panas kering yang berlaku ketika ini.
“Sebelum ini, jualan tidak menentu. Kadang-kadang saya mampu menjual dalam kuantiti yang banyak, namun ada kalanya dalam kuantiti yang sedikit sahaja.
“Memandangkan cuaca panas sekarang ini, hasil jualan meningkat agak ketara sehingga mampu menjual sebanyak 500 cawan sehari berbanding sebelum ini, hanya mampu terjual sebanyak 300 cawan sahaja,” katanya yang menjadikan perniagaan menjual air ini sebagai pekerjaan sepenuh masa.
Dia yang memulakan perniagaan seawal jam 10 pagi menjual pelbagai jenis minuman seperti jagung dan kelapa akan menutup gerai pada jam 7 malam.
Menurutnya lagi, dengan jualan yang meningkat musim panas ini, dia mampu memperoleh pendapatan lebih RM500 sehari.
Rosmaizai Mohd Rozali, 35, yang turut berniaga air di kawasan Pantai Batu Burok berkata, jualan air yang diusahakannya juga semakin meningkat pada musim ini.
“Alhamdulillah, jualan semakin bertambah sehingga mampu mencecah 300 cawan sehari berbanding 100 cawan sahaja pada hari kebiasaan sebelum ini, walaupun terpaksa bersaing dengan gerai-gerai jualan air yang turut berada di sekitar ini,” katanya yang mengupah pekerja bagi membantu perniagaan jualannya.
Sementara itu, Khazah Awang, 47, yang juga peniaga air berkata, cuaca panas yang berlaku sekarang ini banyak mempengaruhi perniagaannya.
“Dengan keadaan cuaca begini, perniagaan saya agak laris terutamanya ketika waktu tengah hari dan juga sebelah petang hingga tidak menang tangan melayan pelanggan,” katanya.
No comments:
Post a Comment