PASIR PUTEH - Kumpulan Kreatif dan Inovatif (TA Power) daripada Unit Fisioterapi, Hospital Tengku Anis (HTA) menemui kaedah lebih baik dalam memberikan rawatan posisi berdiri kepada pesakit kanak-kanak istimewa.
Pegawai Pemulihan Fisioterapi HTA, Norfatanah Abdullah Sani berkata, TA Power berjaya mereka peralatan yang dikatakan lebih sesuai merawat pesakit berbanding peralatan sedia ada.
Katanya, peralatan dinamakan Angle Bed Care itu jelas lebih efisien berbanding penggunaan badan manusia dan bola gim dalam perawatan posisi berdiri.
“Kaedah sedia ada menimbulkan ketidakselesaan kepada pesakit selain membebankan ahli keluarga. Kajian awal mendapati 75 peratus pesakit dan penjaga menyatakan kaedah badan manusia dan bola gim sukar dan tidak mencapai Piagam Pelanggan Unit Fisioterapi HTA.
“Fasiliti kesihatan tidak dapat menyediakan peralatan komersil untuk rawatan ini kerana perlu diimport dan harganya terlalu mahal, lebih RM20,000,” katanya.
Justeru katanya, penggunaan Angle Bed Care boleh diperluaskan kerana menjimatkan kos perawatan selain menjimatkan masa 140 jam setahun.
Beliau berkata demikian pada Program Perawatan Posisi Berdiri membabitkan kanak-kanak istimewa di Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Limbongan di sini, kelmarin.
Norfatanah berkata, peralatan itu membantu pesakit cerebral palsy, delay developemental, down sindrom dan hydrocephalus menjalani rawatan posisi berdiri dengan lebih mudah.
“Angle Bed Care bukan sahaja boleh dijadikan fasiliti kesihatan, malah boleh digunakan di rumah kerana ia memudahkan keluarga mengurus anak-anak istimewa.
“Pesakit tidak lagi terlantar dan berbaring, mereka boleh melakukan aktiviti harian seperti menulis, makan dan bergerak sambil berdiri dengan disokong peralatan berkenaan," katanya.
Angle Bed Care yang mempunyai empat roda dan boleh dikunci itu katanya, dinobat sebagai Naib Johan Keseluruhan kategori teknikal dan Persembahan Terbaik Keseluruhan pada Konvensyen Kumpulan Kreatif dan Inovatif Bahagian Perubatan Kali Ke-7 di Hospital Pasir Mas Oktober tahun lepas.
Menurutnya, pada Konvensyen Inovasi Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan pada November tahun lepas, alat itu muncul Naib Johan Keseluruhan dan Pameran Terbaik Keseluruhan.
“Tahniah kepada TA Power yang terdiri daripada kakitangan HTA daripada pelbagai jawatan. Mereka menunjukkan komitmen tinggi dalam meningkatkan taraf perawatan fisioterapi,” katanya.