Friday 22 April 2016

Kawasan tinggi paling bahaya



Kawasan tinggi paling bahaya
Papan tanda amaran diletakkan bagi memastikan pengunjung sentiasa berwaspada ketika berada di Air Tejun Chamang.
BENTONG - Air Terjun Chamang di Hutan Simpan Bukit Tinggi, di sini, yang mempunyai air terjun dan jeram mengalir deras dengan pelbagai rupa bentuk batuannya pasti memberi ketenangan minda kepada sesiapa yang berkunjung ke situ.
Bagaimanapun terdapat segelintir pengunjung, terutamanya yang datang dari luar daerah bersikap cuai dan enggan mematuhi arahan dikeluarkan Jabatan Perhutanan hingga  mengundang tragedi meragut nyawa.
Pegawai Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Bentong, Mohd Zulkhairi Adek Awang berkata, pada tahun lalu tiga pengunjung luar mati lemas ketika mandi manda di air terjun itu dan ia angka korban tertinggi di kawasan itu setakat ini.
Menurutnya, walaupun papan tanda amaran diletakkan  Jabatan Perhutanan namun masih terdapat pengunjung yang tidak mengendahkannya.
“Kawasan paling bahaya di Air Terjun Chamang adalah di kawasan tinggi kerana di situlah sering berlaku kejadian lemas.
“Kes lemas sering berlaku kepada pengunjung luar kerana mereka tidak arif selok belok kawasan itu termasuk kedalaman airnya yang  mengalir deras,” katanya kepada pem- berita, di sini.
Zulkhairi berkata, pengunjung luar juga tidak memahami  fenomena kepala air yang  sangat berbahaya terutama ketika musim tengkujuh.
“Kalau penduduk setempat kita tak kisah sebab mereka sudah biasa dengan situasi itu namun rata-rata orang luar yang datang tidak tahu bahawa kepala air boleh terjadi sekiranya berlaku hujan di bahagian hulu,” katanya.
Beliau berkata, disebabkan keadaan itu, Air Terjun Chamang akan ditutup kepada pengujung ketika musim tengkujuh dan dibuka semula sekitar Februari.
Jelasnya, JPAM sedang merangka sistem keselamatan lebih baik sebelum menjelang musim tengkujuh akan datang, termasuk menyediakan pasukan penyelamat kecemasan terdiri empat hingga enam  anggota JPAM.
“Selain itu, kami juga akan pasang siren kecemasan selain menempatkan sistem pembesar suara yang kami terima sumbangan daripada Ahli Parlimen Bentong, Datuk Seri Liow  Tiong Lai.
“Ini bagi memudahkan anggota bertugas mengawal pengunjung daripada melanggar peraturan hingga boleh mengancam nyawa mereka,” katanya.
Mohd Zulkhairi berkata, pihaknya juga akan cuba menyerap Komuniti Hiking Bentong ke dalam JPAM kerana mereka amat berpengalaman dengan Air Terjun Chamang dan Gunung Rajah yang merupakan antara usaha untuk menjadikan 'zero' mangsa  lemas di kawasan itu.
Menurutnya, usaha mengawal dan menjaga keselamatan pengunjung akan dipertingkat dari semasa ke semasa memandangkan 2017 adalah tahun melawat Pahang.
Beliau turut menasihatkan pengunjung supaya menjaga keselamatan dan mematuhi segala peraturan ditetapkan semasa mandi di Air Terjun Chamang.
“Tolong jaga kelakuan semasa mandi di situ dan sentiasa patuhi arahan pada papan tanda amaran yang disediakan,” katanya.
Pihaknya akan cuba mengawal dan menjaga keselamatan pengunjung dengan sebaik mungkin dan akan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Menurutnya, Air Terjun Chamang  adalah sebuah pusat rekreasi dengan jumlah pengunjung tertinggi bagi negeri ini, justeru penting untuk meningkatkan keselamatan dan mengurangkan risiko kematian di situ.

No comments:

Post a Comment