LIPIS - Penduduk diminta mengurangkan kegiatan penangkapan ikan air tawar bermutu tinggi di Sungai Jelai termasuk anak sungai bagi mengelak kepupusan hidupan tersebut ketika ini, berikutan fenomena El Nino dan cuaca panas.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail, berkata, langkah tersebut selaras dengan program pemuliharaan akuakultur anjuran Jabatan Perikanan Pahang (JPP) demi kepentingan spesies itu dalam tempoh jangka panjang.
Menurutnya, fenomena tersebut memberi impak apabila air sungai utama, iaitu Sungai Jelai surut, termasuk beberapa anak sungai di pedalaman Jelai sehingga spesies berkenaan terancam.
“Air sungai yang surut menyebabkan ikan air tawar mengalami gangguan habitat sehingga banyak yang mati akibat cuaca panas termasuk ditangkap nelayan sungai bagi tujuan komersial.
“Kerajaan memandang serius kesan fenomena El Nino dan cuaca panas serta menyarankan Jabatan Perikanan Pahang (JPP) merancang pemulihan dan pemuliharaan spesies ini selepas fenomena berkenaan pulih tidak lama lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika menyertai acara pesta menangkap ikan air tawar di santuari Sungai Serau bersama penduduk di Kampung Serau, di sini, kelmarin.
Turut serta, Pengarah Perikanan Pahang, Adnan Hussain; Penghulu Mukim Jelai, Asyhar Ahmad dan Ketua Kampung Serau, Idris Kesah.
Wan Rosdy yang Adun Jelai berkata, sempena pesta itu juga, beliau melepaskan sebanyak 20,100 benih ikan air tawar, iaitu ikan lampan, baung, temoleh dan terubon di santuari Sungai Serau menerusi bantuan JPP kepada penternak kalangan komuniti setempat.
Sementara itu, Adnan berkata, usaha JPP melepaskan spesies ikan berkenaan bertujuan untuk mengekalkan ekosistem dan kebersihan air Sungai Serau di bawah Program Pemuliharaan dan Pengurusan Sumber Perikanan Darat Negeri Pahang.
Menurutnya, program itu juga mendidik komuniti setempat supaya menjaga dan memulihara pelbagai spesies ikan air tawar untuk tempoh jangka panjang termasuk ketika berdepan musim kemarau dan cuaca panas.