GEMENCHEH - “Kau bukakanlah pintu hatinya jadi orang yang baik dan semoga keretaku dapat dipulangkan kembali”.
Itulah doa seorang imam sebaik menyedari kereta Proton Wira miliknya yang diparkir di garaj Masjid Kariah Kampung Tengah, di sini, awal pagi kelmarin lesap dilarikan pencuri.
Pencuri terbabit dipercayai melakukan jenayah curi kereta di Nyalas, Melaka dan merogol seorang gadis di Segamat, Johor, sejak seminggu lalu.
Baharudin Ashari, 69, berkata, biasanya dia pasti akan terjaga dari tidur sekiranya terdengar bunyi tapak kaki individu yang datang ke masjid, terutamanya pada waktu tengah malam.
“Malam itu saya solat Isyak kira-kira jam 12 tengah malam dan kemudiannya berzikir sebelum tertidur di masjid. Kunci kereta saya letak di sebelah, tak pasti bila masanya ada orang datang ambil kunci kereta saya.
“Itu pun saya tersedar kereta dilarikan selepas selesai solat sunat duha pada jam 8 pagi dan mahu pulang,” katanya, semalam.
Baharudin berkata, secara kebetulan kereta dipandu pencuri mengalami kerosakan di tepi jalan berdekatan masjid dan telah mensasarkan keretanya sebagai pengganti.
Menurutnya, susulan kejadian itu dia segera membuat laporan polis.
“Mujurlah dengan kecekapan polis, saya dimaklumkan kereta telah dijumpai pada tengah malam tadi (semalam),” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tampin, Superintenden Wooi Kooi Cheang berkata, suspek iaitu lelaki berusia 33 tahun berjaya ditahan polis semasa sedang mengisi minyak di Petronas, Tampin kira-kira jam 12 tengah malam.
”Suspek berasal dari Felda Medoi, Segamat Johor dan merupakan penganggur. Sebelum ditahan suspek telah menyamar sebagai polis. Dia kini ditahan reman empat hari bagi membantu siasatan,” katanya.