REMBAU - Seorang peniaga terkejut apabila mendapati ulat dalam botol air loncan yang dibelinya dua minggu lalu.
Rashidi Ahmad, 50, berkata, dia telah mengetengahkan aduan berkenaan secara terus ke kilang pengeluar air botol itu di Johor, namun kesal apabila syarikat terbabit sehingga kini masih belum mengambil tindakan.
Menurutnya, dia mula membeli air berkenaan untuk diletakkan di gerai burgernya sejak enam bulan lalu, namun mula periksa kandungannya selepas seorang pelanggan mengadu air berhabuk.
“Jadi, saya suami isteri belek air botol loncan yang dibeli dan terkejut apabila mendapati air berperisa aiskrim soda terdapat ulat di dalamnya. Air ni terang, dapatlah kami perasan tak bersih... tapi kalau air sarsi, kami hanya akan tahu sekiranya buka air berkenaan.
“Tidak mahu perkara ini berlanjutan, saya segera cari nombor telefon kilang, namun di botol tidak tertera sebarang nombor untuk dihubungi.
“Namun, saya tak berputus asa dan menjejaki nombor pengeluar melalui pengedar,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Kampung Tanjung Sena, di sini, semalam.
Rashidi berkata, dia berharap pengeluar air berkenaan lebih bertanggungjawab dalam menjaga kebersihan dan kualiti produk yang dipasarkan.
“Saya harap agensi kerajaan yang berkaitan juga dapat memantau tahap kebersihan bagi kilang-kilang pengeluar air loncan ini,” katanya.