BUTTERWORTH - "Kami buat apa yang termampu," itu antara nekad dua pemuda yang sanggup menaiki motosikal dari Taman Kenari, Kulim untuk menyumbang bekalan dapur di Maahad Tahfiz Fathul Ulum di Bagan Jermal, hari ini.
Mohd Amirul Hakimi Mohd Anuar,21, berkata dirinya terpanggil untuk menyampaikan bantuan kepada maahad tahfiz ini setelah menerima berita yang tersebar di media sosial.
"Bila dapat tahu saja tentang berita ini saya takfikir panjang terus ajak kawan datang ke sini, sekurangnya dapat sumbangkan sesuatu pun jadilah.
"Saya kongsi duit bersama rakan, beli beras 20 kilogram dan enam bungkung gula, kami bawa ke sini dengan motosikal saja," katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, perjalanan mereka untuk datang ke sini menempuhi pelbagai dugaan.
"Tadi masa nak datang kami hampir cedera setelah terlibat dengan kemalangan, nasib baik barang yang kami bawa ini tak terjatuh.
"Pada kami biarpun sedikit, hanya ALLAH sahaja yang tahu perasaan kami setelah dapat juga tiba disini menyampaikan sumbangan yang tidak seberapa ini," katanya.
Rakannya, Mohd Azharudin Mohd Shahabudin,21, berkata niat mereka hanya satu iaitu melakukan apa saja yang termampu.
"Memang perjalanan agak jauh, tambahan pula dengan cuaca yang panas, namun bagi kami itu bukan halangan untuk kami membantu.
"Kami berdua bukan dari keluarga yang berada, jadi kami faham bila ada yang mengalami keadaan sebegini, kami nak sangat untuk membantu," katanya.