Tuesday 8 March 2016

Bodyguard, drama bersiri aksi hebat



Bodyguard, drama bersiri aksi hebat
Bodyguard
KALI terakhir jika kita menyebut tentang kisah Bodyguard, pastinya membayangkan hero Hollywood terkenal, Kevin Costner yang membawakan watak Frank Farmer yang melindungi penyanyi pop terkenal Rachel Marron lakonan mendiang Whitney Houston.
Kisah cinta dan kesetiaan lakonan berkesan antara yang menjadikan filem itu malar segar di kotak minda penonton.
Kini penonton Malaysia disajikan dengan drama bersiri terbaharu yang mengangkat kerjaya pengawal peribadi tetapi dari konteks tempatan.
Pengenalan kepada kerjaya ini yang kurang mendapat pendedahan menjadikan drama bersiri Bodyguard bersiaran di TV3 mulai 2 Mac ini setiap Isnin hingga Rabu jam 10 malam, antara menarik untuk ditonton.
Bodyguard membariskan lima pelakon lelaki tampan bertubuh sasa iaitu Fattah Amin, Azrel Ismail, Idris Khan, Lan Siro dan Sabhi Saddi sebagai teraju utama. Malah, bagi menjayakan lagi lakonan drama arahan Nuad Othman ini, mereka telah dihantar untuk latihan intensif bagi mempersiapkan diri mereka untuk memegang watak ini.
Asas latihan menembak dan menunggang kuda adalah di antara kemahiran yang mereka pelajari ketika pembikinan drama ini.
Malah, Nuad yang juga merupakan guru silat turut memberi tunjuk ajar dalam seni mempertahankan diri.
Bagi memastikan keberkesanan pelakon ini menjiwai watak, mereka juga dilatih oleh Timbalan Presiden Pegawai Peribadi Malaysia, Basri agar mereka benar-benar faham tentang tugas sebagai seorang pengawal peribadi.
Bodyguard mengisahkan lima jejaka Faris (Fattah Amin), Rayyan (Azrel Ismail), Daniel (Idris Khan) Rahul (Lan Siro) dan Basri (Sabhi Saddi) yang bekerja sebagai pengawal peribadi di sebuah agensi milik Nasha (Farahdhiya). Di dalam setiap episod, pelbagai cabaran terpaksa dihadapi oleh setiap bodyguard. .
Setiap watak diperkembangkan sepanjang 20 episod drama ini bersiaran.
Selain lima watak utama, penonton juga akan melihat kemunculan beberapa pelakon lain dan penampilan khas seperti Datuk Hattan, Adibah Yunus, Hafizul Kamal dan ramai lagi.
Apakah risiko yang bakal mereka hadapi? Bagaimanakah lima jejaka ini bakal menyempurnakan tugas mereka?
Tonton drama bersiri Bodyguard yang bakal bersiaran di slot Aksi mulai 2 Mac 2016, setiap Isnin hingga Rabu, jam 10 malam di TV3.

No comments:

Post a Comment