Tuesday 8 March 2016

'Bersih' dari kontroversi




'Bersih' dari kontroversi

SELEPAS empat tahun menyepi, Bintang RTM 2016 (BRTM2016) kini kembali bersiaran sejak Februari lalu. Biarpun menjanjikan kelainan selain hiburan yang lebih segar dalam BRTM2016, kegemilangan Bintang RTM sememangnya tidak mudah dipertahankan apatah lagi selepas menjangkau usia lebih 35 tahun.
Bahkan, nama juara BRTM2012, Aisha Masnamimi Safia @ Shafie seolah-olah ‘hilang’ dalam lapangan seni muzik tanah air. Sebelum itu, juara BRTM2009, Nur Ernie Shahirah Zakri turut menimpa nasib yang sama.
Jika dilihat dari segi penampilan, kedua-dua Bintang RTM ini hadir dalam pakej yang hampir sempurna, ada wajah dan bakat, namun kekurangan populariti.
Penerbit BRTM2016, Haliza Mat Khasar mengakui program terbitan RTM itu ‘bersih’ daripada sebarang kontroversi dan terlalu berhati-hati dalam proses penjurian.
Katanya, situasi itu menjadikan Bintang RTM tidak mencetuskan apa-apa fenomena atau sebarang kejutan.
"Kita tahu dan sedar Bintang RTM perlu mengikut selera dan kehendak masyarakat agar ia terus diterima.
"Lebih-lebih lagi, masyarakat sekarang lebih sukakan tarikan dan kontroversi, tetapi perkara itulah yang tiada dalam program ini.
"Mungkin, selepas ini kita perlukan sedikit ‘pencuit’ seperti mana program realiti lain," katanya kepada Zass.
Selain itu, katanya, lambakan program realiti dan persaingan hebat di antara syarikat televisyen (TV) swasta secara tidak langsung turut memberikan saingan sekali gus mengaburi kerdipan Bintang RTM.
"Lihat saja, dahulu hanya Bintang RTM yang menjadi tumpuan tetapi kini kemunculan terlalu banyak program pertandingan nyanyian lain sekali gus mengubah perhatian masyarakat kepada yang baharu dan menarik.
"Pada masa sama, setiap stesen TV juga berlumba-lumba mencari publisiti terhadap program mereka," katanya.
Lebih mengecewakan lagi, katanya, stesen TV dan radio juga jarang membuka peluang dan memberi sokongan kepada mana-mana produk daripada RTM.
Pun begitu, Haliza mengakui masa depan seseorang penyanyi dalam bidang glamor ini sebenarnya lebih bergantung kepada nasib.
"BRTM 2016 merupakan program realiti yang bertujuan untuk mencari penyanyi yang mempunyai vokal terbaik dan versatil.
"Kita sudah menyediakan laluan itu kepada setiap peserta dan ia akhirnya terserah kepada hala tuju peserta itu sendiri dalam bidang ini," katanya.
Namun, Haliza mengakui ada syarikat rakaman yang sedang mengintai bakat BRTM2016.
"Ya, sudah ada syarikat rakaman yang berminat terhadap peserta BRTM2016. Tetapi, jika mahu ambil mereka jadi artis, tunggulah sehingga tamat  program ini," katanya.
Menyelak sejarahnya, istilah Bintang RTM mula digunakan pada 1973 apabila Bakat Radio dan Bakat TV diselaraskan dan digabungkan seterusnya menjadi acara tahunan sehingga 1986.
Melalui pertandingan ini, nama-nama besar hadir dalam industri seni hiburan seperti Dahlan Zainuddin, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Rosemaria, Jamal Abdillah, Rohana Jalil, Juliza Adlizan, Azian Mazwan Sapuan, Aznil Nawawi dan Ayai (Illusi).
Jika tidak menang sekalipun, berada dalam kalangan peserta akhir saban tahun pertandingan, sudah cukup sebagai tiket untuk memulakan langkah panjang sebagai penyanyi popular.
Seperti yang berlaku kepada Azharina, Misha Omar, Siti Sarah Raisuddin, Farawahida, Sharifah Zarina dan Asmidar mereka bukanlah juara tetapi kerja keras dan latar belakang Bintang RTM menjadikan episod bergelar artis menemui jalan yang mudah.
Dalam pada itu, memasuki minggu keenam bersiaran, kini tinggal 10 peserta yang bersaing bagi merebut Juara BRTM2016 iaitu Mohd Farhan Mohd Mustafa, 19, (Pahang), Muhammad Hafiz Ismail, 23, (Kelantan), Muhammad Adib Ibrahim, 24, (Pulau Pinang), Muhammad Alif Mustafa, 22, (Kuala Lumpur), Syakirah Edora Janali, 22, (Johor), Rosario Ninih Chamini Bianis, 21, (Sabah), Idris Zulkifli, 19, (Perak), Nor Fazrina Mohd Gani, 23, (Selangor),
Nur Shafreeza Zainal Abidin, 22 (Selangor), Nur Hijrah Yahya, 24, (Sarawak), BRTM2016 bersiaran secara langsung di saluran TV2, pada setiap Sabtu, jam 9 malam.

No comments:

Post a Comment