Tuesday 8 March 2016

Hani & Zue cipta lagu berkualiti




Hani & Zue cipta lagu berkualiti

DEMI mengukuhkan nama dalam industri hiburan tanah air, pasangan duo wanita, Hani dan Zue berazam untuk berusaha lebih gigih bagi menghasilkan karya berkualiti.
Malah, pasangan duo yang berusia 22 tahun ini turut menegaskan tidak akan sesekali menghasilkan lagu 'tangkap muat'.
"Kita lebih fokus kepada kualiti kerja dan kerana itu kami sangat mementingkan material.
"Kita tidak mahu menghasilkan lagu sekadar untuk suka-suka dan hanya sedap didengari sebaliknya biarlah ia punya kualiti tersendiri.
"Mungkin proses untuk mengukuhkan nama dalam industri agak lambat memandangkan kita masih dalam pengajian di universiti," kata Hani mewakili pasangan duo itu ketika ditemui selepas menjayakan Karnival Karangkraf, baru-baru ini.
Pada masa sama, pelantun lagu Jauh itu juga menyifatkan persaingan sebagai satu bentuk yang positif untuk terus menghasilkan karya yang terbaik.
"Ya, kita tidak nafikan kelahiran artis baharu bak cendawan tumbuh selepas hujan bahkan lagu-lagu yang dihasilkan juga memenuhi cita rasa peminat.
"Lebih beruntung, ada juga yang menerima tunjuk ajar daripada mereka yang berpengalaman dalam industri.
"Tapi, kita tetap memandangnya daripada sudut positif sekurang-kurangnya kehadiran artis baharu juga memberi inspirasi kepada kita untuk menghasilkan karya yang terbaik," katanya.
Dalam pada itu, Hani dan Zue baharu sahaja mengeluarkan single terbarunya, Mulut Tempayan.
"Alhamdulillah, kita menerima respons yang positif daripada peminat. Bahkan, muzik video di laman sosial, YouTube menerima lebih 41,000 tontonan sejak dilancarkan pada 15 Januari lalu," katanya.
Pada masa sama, Hani & Zue turut berhasrat untuk mengeluarkan album keduanya, sebelum tahun depan.

No comments:

Post a Comment