MINAT yang mendalam bidang muzik memberikan inspirasi kepada pengusaha kraftangan yang juga pemain dram kumpulan rock popular, Sofea SYJ, Raja Nahar Putra Raja Horman atau NP mencipta Cahoon yang dikenali sebagai Cajon di kalangan penduduk tempatan.
Nahar Putra berkata, inspirasi mencipta Cajon atau dram kotak bermula apabila menonton YouTube memaparkan pembuatan alat muzik itu berasal dari Amerika Syarikat.Pada 2011, Cajon terkenal di luar negara.
"Saya meminati gendang dan berkeinginan memiliki satu set dram yang mudah alih dan boleh dibawa ke mana sahaja. Saya melihat ciri-ciri Cajon menggabungkan bunyi yang diidamkan, saya yakin Cajon adalah alat muzik boleh memenuhi impian saya," katanya.
Menurutnya, sejak lima tahun lalu, kehidupannya mula berubah apabila banyak menghabiskan masa membuat Cajon secara berperingkat.
"Ia bukan bidang mudah kerana memerlukan ketelitian dan kajian mencari kesesuaian bunyi disepadukan dengan kayu dan alatan lain.
"Hampir dua tahun saya cuba menghasilkan Cajon yang terbaik kerana mahu lain daripada lain. Alhamdulillah, penggunaan kayu getah menghasilkan bunyi yang diidamkan dan pelbagai irama," katanya.
Bakar 20 Cajon
Walaupun dia berjaya memperoleh bunyi seperti dram biasa, namun masih mencari kaedah mendapatkan bunyi seakan-akan dram set asli.
"Saya sentiasa menyesuaikan bunyi Cajon untuk disesuaikan dengan permintaan. Saya yakin, pada suatu hari nanti, saya akan mendapat bunyi yang terbaik," katanya.
Tambahnya, pengalaman bermain dram selama 35 tahun diaplikasikan untuk menghasilkan bunyi Cajon dalam tujuh kategori antaranya rock, balada, dangdut dan Latin.
Seingatnya, dia mengeluarkan modal sebanyak RM500 untuk menghasilkan Cajon kerana perlu membeli barang keperluan seperti kayu, gam, tali gitar dan sebagainya.
Harga serendah RM400
"Dalam menghasilkan Cajon, saya pernah membakar 20 Cajon yang tidak menepati apa yang saya mahukan. Saya kecewa dan berhenti membuat Cajon selama empat bulan. Saya mendapat sokongan daripada kawan-kawan dan keluarga yang mahukan saya meneruskan menghasilkan Cajon sehingga menjadi," katanya.
Dia bersyukur selepas kejadian itu dengan semangat membara, dia menghasilkan Cajon.
"Sejak diperkenalkan, saya menjual 800 Cajon di seluruh negara dan pembeli pertama saya ialah berbangsa Cina yang membeli dengan harga RM250," katanya.
Walaupun Cajon pertamanya menggunakan kayu tebal, pembeli tersebut seboleh-bolehnya mahu membeli alat itu kerana minat dan menghargai hasil tangan anak tempatan.
"Saya juga menjual Cajon kepada pasaran luar negara iaitu Australia. Mereka mengagumi Cajon dari Malaysia kerana menggunakan kayu getah dan menghasilkan bunyi berlainan," katanya.
Kini, Nahar Putra menjual Cajon serendah RM400 dan murah berbanding harga pasaran iaitu RM800 sehingga RM1,500.
"Saya menjual dengan harga murah kerana kebanyakan pencinta muzik tidak berkemampuan dan saya mahu mereka memilikinya. Sekiranya ada tempahan memerlukan penambahan antaranya warna, gambar dan bebanan, saya akan menjual dengan RM600.
"Saya membuat Cajon bersaiz standard iaitu 17 sentimeter (cm) X 11 cm. Saya boleh menghasilkan 10 Cajon dalam masa seminggu kerana dibuat dengan menggunakan kaedah manual iaitu tangan," katanya yang lebih selesa tidak menggaji pekerja bagi mengekalkan kualiti seni tangannya.
Nahar Putra juga mampu menjual lebih 10 Cajon dalam sebulan.
"Kebanyakan pembeli adalah pemuzik, peminat muzik, pelajar institusi pengajian tinggi. Mereka mendapat maklumat melalui media sosial, promosi rakan-rakan. Ada juga pembeli tertarik dengan Cajon selepas melihat persembahan saya," katanya.
Kini Nahar Putra menghasilkan Cajon di bengkel di Jeram, Selangor.
"Saya mahu mempunyai kilang sendiri dan sekarang dalam proses menyimpan wang merealisasikannya. Saya perlu menyara dua anak yang kini sedang belajar dalam bidang perubatan dan kejuruteraan," katanya.
Nahar Putra turut mencipta inovasi baharu iaitu Cajon Turbo dan Cajon Bonggo serta Cajon bulat.