Monday 7 March 2016

Dinobat juara silat remaja dunia




Dinobat juara silat remaja dunia
Kejayaan Mohamad Hazim (tiga, kiri) dan Nurulaina (tiga, kanan) membanggakan warga SMK Chini Timur dan negara.
KUANTAN - Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chini Timur, Pekan dinobatkan juara remaja dunia dalam Kejuaraan Silat Remaja Dunia yang berlangsung di ibu negara baru-baru ini.
Mohamad Hazim Amzad, 17, merangkul pingat emas sekali gus dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
Menurutnya, dia tidak menyangka berjaya mencapai gelaran tersebut memandangkan terpaksa berdepan persaingan hebat daripada peserta dari Singapura.
“Saya sangat bersyukur dan gambira di atas kejayaan ini kerana berjaya mengharumkan nama sekolah,” katanya.
Turut bertanding, Nurulaina Zailudin, 16, yang memenangi pingat gangsa di pentas separuh akhir sebagai wakil negara.
Sementara itu, Pengurus Pasukan Silat SMK Chini Timur, Kairuman Abu Salim menyifatkan kejayaan pasukan silat pada tahun ini adalah kejayaan terbesar bagi pihak sekolah dan negeri sehingga mengharumkan nama negara di mata dunia.
Katanya, pasukan silat sekolah itu berjaya menarik perhatian juri apabila menggabungkan dua perguruan iaitu seni Silat Spelet Gunung Jati dan Seni Silat Gayong Malaysia pada pertandingan tersebut.
“Saya menyatukan dua perguruan ini untuk membawa satu arah kejayaan bersama. Kami membuktikan bahawa anak Felda juga mampu memberi sumbangan untuk negara walaupun tiada kemudahan yang lengkap untuk latihan.
“Saya harap lebih ramai anak muda khususnya pelajar sekolah dapat melibatkan diri dalam aktiviti yang berfaedah seperti ini,” katanya.
Pengetua SMK Chini Timur, Ahmad Zamri Md Isa berkata, pasukan silat sekolah itu diwujudkan bagi melahirkan pelajar cemerlang dari segi sahsiah diri dan membina jati diri pelajar bagi memenuhi aspirasi negara.
“Aktiviti persilatan juga dapat bantu pelajar raih kejayaan dalam bidang kokurikulum dan sukan dengan penglibatan pelajar dalam pertandingan atau kejohanan hingga ke peringkat antarabangsa,” katanya.

No comments:

Post a Comment