PERKEMBANGAN media sosial hari ini menyaksikan ramai rakyat Malaysia mengambil peluang terlibat dalam perniagaan dan ia adalah satu perkembangan yang baik.
Pakar Kejayaan No. 1 Asia, Dr Azizan Osman berkata, perkembangan itu suatu yang membanggakan kerana perniagaan dilakukan dengan cara betul dan berilmu akan bertahan lama.
Menurutnya, perkembangan media sosial disambut baik bagi mereka yang mahu menjana pendapatan kerana keadaan ekonomi yang tidak menentu kini dijangka berlarutan untuk satu jangka masa panjang.
“Kesannya akan menyebabkan kos sara hidup meningkat, peluang pekerjaan terhad dan kadar inflasi semakin tinggi. Pusingan ekonomi begini sentiasa berlaku dalam setiap 10 hingga 15 tahun.
“Dalam setiap fasa kegawatan ekonomi, tiada seorang pun boleh terselamat melainkan mereka mempunyai ilmu yang cukup dengan tindakan betul,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Klinik Usahawan Dr Azizan Osman: Mudahnya Berniaga dan pelancaran buku baharunya, Mudahnya Berniaga.
“Sebagai seorang berpengalaman dalam perniagaan dan mengajar hampir 700,000 peserta sejak 2008, saya yakin perniagaan perkara yang baik untuk  mendapat pendapatan lumayan, berpanjangan dan terjamin.
“Ia boleh dilakukan dengan mudah andainya mempunyai mentor yang terbukti berjaya yang akan memberikan tunjuk ajar kepada mereka,” katanya.
Katanya, jika ada ilmu, kemungkinan untuk meningkatkan pendapatan lebih banyak daripada yang dijangka.
“Kebanyakan peserta yang hadir dalam seminar saya adalah 68 peratus wanita dan 35 peratus daripadanya adalah suri rumah. Mereka boleh menjana pendapatan lebih lumayan selepas menghadiri seminar.
“Ramai bakal usahawan dan usahawan membuang masa bertahun-tahun membuat kesilapan merugikan dalam memulakan atau membina perniagaan. Mereka lebih rela berniaga pada tahap yang sama atau tidak menguntungkan daripada membenarkan diri mereka untuk belajar mendapatkan ilmu dan pengalaman orang lain yang terbukti berjaya,” katanya.
Jelasnya, tidak suka belajar untuk mendapatkan ilmu merupakan antara sebab kritikal ramai usahawan berada pada tahap perniagaan yang sama.
“Tanpa ilmu keusahawanan yang sebenar, mereka akan mencuba pelbagai perniagaan dan ia membazir masa, wang dan tenaga,” katanya.
Dr Azizan berkata, dia akan mengadakan siri jelajah Klinik Usahawan Dr Azizan: Mudahnya Berniaga seluruh negara mulai 2 April ini.
“Saya mengalu-alukan kepada mereka yang mahu memulakan perniagaan, sering berhadapan masalah dalam perniagaan dan tidak faham serta tidak tahu strategi yang betul untuk sertai klinik ini.
“Saya menyasarkan klinik ini akan disertai 10,000 peserta dan pendaftaran serendah RM30 sahaja.  Mereka akan mendapat buku Mudahnya Berniaga secara percuma di klinik tersebut,” katanya.
Katanya, buku Mudahnya Berniaga memasuki pasaran pada April nanti dengan harga RM45.90 dan menjangkakan akan mencetak 50,000 naskah dalam tempoh tiga bulan.
Tambahnya, setakat ini, pendaftaran masih dibuka dan mereka yang berminat boleh mendaftar di laman webnya. Syarat untuk menyertai klinik tersebut adalah peserta berumur 21 tahun ke atas.
Lokasi-lokasi terpilih untuk penganjuran klinik tersebut ialah ialah Kuala Lumpur (2 April), Pulau Pinang (3 April), Alor Setar; Kedah (9 April), Ipoh; Perak (10 April), Kota Bharu; Kelantan (15 April), Kuantan; Pahang (16 April), Melaka (17 April), Johor Bharu; Johor (23 April), Shah Alam; Selangor (24 April) dan Tawau (14 Mei) serta Kota Kinabalu; Sabah (15 Mei).