Tuesday 8 March 2016

Dua beradik dicekup curi duit masjid




Dua beradik dicekup curi duit masjid
Kedua-dua suspek yang ditangkap ketika melakukan perbuatan terkutuk itu di dalam masjid.
TUMPAT – Hasrat dua beradik mencuri duit tabung masjid di Kampung Kubang batang, semalam gagal apabila kelibat mereka yang mencurigakan itu disedari salah seorang anggota Skim Rondaan Sukarela (SRS) Kubang Batang/ Menjual.
Dalam kejadian jam 2 pagi itu, kedua-dua beradik yang beralamat di Pasir Mas memasuki perkarangan masjid dengan sebuah motosikal.
Difahamkan, salah seorang suspek sudah tiga kali mencuri duit tabung di Masjid Kubang Batang tetapi terlepas. Namun, kerja tidak bermoralnya kali ini bersama saudara kandungnya menemui kegagalan.
Timbalan Ketua SRS Kubang Batang/ Menjual, Kamaruzaman Musa berkata, selepas mendapat maklumat ada cubaan mencuri duit tabung masjid, dia menghubungi anggota SRS yang bertugas supaya mengepung masjid itu.
“Kami ternampak dua lelaki itu sedang mengail duit tabung. Mereka cuba larikan diri apabila sedar kehadiran anggota SRS. Tapi tak berjaya kerana kawasan masjid itu sudah dikepung,” katanya.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut terhadap dua lelaki itu menjumpai wang RM79 di dalam poket seluar salah seorang suspek.
“Kami terus hubungi polis memaklumkan kejadian itu dan menyerahkan mereka kepada polis,” katanya.
Ini kejayaan kedua SRS Kubang Batang/ Menjual menangkap pencuri duit tabung Masjid Kubang Batang dan kejayaan kali kelima setelah berjaya menangkap pencuri besi, kerusi dan komponen jentera berat di sekitar kampung Kubang Batang merupakan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kubang Batang/ Menjual.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintenden Zaharudin Rasip mengesahkan kejadian tersebut.
“Pihak polis menahan dua lelaki tersebut berusia 20-an untuk tindakan lanjut, kedua-duanya positif dadah,” katanya.

No comments:

Post a Comment