Tuesday 8 March 2016

Pelajar cemerlang terima insentif




Pelajar cemerlang terima insentif
Razif (kiri) bertanya khabar kepada Normelisa selepas dia menerima insentif pada Majlis Apresiasi Kecemerlangan SPM dan STPM Negeri Terengganu 2015, semalam.
KUALA TERENGGANU – Keadaan ekonomi kurang stabil pada masa kini tidak menghalang Terengganu meneruskan bantuan dan juga insentif kepada mereka yang layak.
Terbaharu, seramai 406 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) menerima insentif sebanyak RM500 melalui pembukaan akaun atau penambahan deposit Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i) yang disampaikan, semalam.
Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata, daripada 406 pelajar yang menerima insentif itu, lapan daripadanya adalah pelajar cemerlang SPM yang memperoleh semua A dan 15 orang pelajar cemerlang STPM mendapat Gred A (PNGK 4.00).
“Selain memberi penghargaan kepada pelajar, kerajaan negeri juga memberi penghargaan kepada sekolah cemerlang dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Cemerlang.
“Setiap kali kita capai kejayaan, secepat mungkin kita akan bagi penghargaan atas kejayaan mereka kerana kita tidak mahu mereka menunggu terlalu lama sebagaimana sebelum ini. Kita juga akan sentiasa terus memberi penghargaan kepada mereka yang memberi nama baik kepada Negeri Terengganu,” katanya pada sidang media sempena Majlis Apresiasi Kecemerlangan SPM dan STPM Negeri Terengganu 2015, semalam.
Sementara itu, pelajar cemerlang SPM Calon Berkeperluan Khas, Normelisa Mohd Yadi, 18, berkata, SSPN-i yang diterimanya pada majlis berkenaan menjadi pembakar semangat kepada dirinya untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Normelisa yang mengalami masalah saraf sejak berusia 11 tahun selepas diserang demam panas terpaksa berkerusi roda itu akan menjadikan akaun SSPN-i  berkenaan untuk mencapai cita-citanya sebagai seorang pensyarah.
Katanya, selain menerima bantuan daripada kerajaan negeri, orang perseorangan, kepimpinan kampung turut memberi penghargaan kepada dirinya dalam bentuk kewangan bagi membolehkan dia melanjutkan pengajian seperti yang diimpikan.
“Sebelum ini pun, ada orang ramai yang datang bantu saya kerana kejayaan saya dan ingin membantu keluarga saya dimana ibu, Saripah Abu Bakar, 46, yang hanya bekerja menjual kuih di Pasar Besar Chabang Tiga, di sini, “katanya.

No comments:

Post a Comment