ALOR SETAR - Hanya empat peratus atau 20,523 daripada 533,549 premis dan kediaman yang mengalami masalah tekanan air rendah di Kedah sejak awal Jan hingga hari ini disebabkan fenomena El Nino.
Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Bekalan Air, Sumber Air dan Tenaga negeri Kedah, Datuk Badrol Hisham Hashim berkata, masalah itu berlaku sejak awal Jan lepas akibat penggunaan bekalan air bersih meningkat sehingga 200 peratus setiap hari.
Beliau berkata, ini menyebabkan beberapa kawasan di daerah Pokok Sena, Kota Setar, Kuala Ketil, Pendang, Sik dan Kuala Muda, mengalami ganguan tekanan air rendah pada waktu siang.
Katanya tekanan air pada waktu malam kembali normal dan perkara ini terkawal serta tidak berlaku gangguan terputus bekalan air yang disalurkan oleh Syarikat Air Darul Aman (Sada).
"Bekalan air di negeri ini tidak kritikal akibat fenomena El Nino yang berlaku pada hari ini kerana kita mempunyai takungan air di tiga empangan utama iaitu Empangan Pedu, Ahneng dan Muda yang cukup untuk tempoh dua tahun," katanya pada sidang media, hari ini.
Badrol Hisham berkata, terdapat 495 rumah atau 0.09 peratus daripada jumlah keseluruhan yang mengalami terputus bekalan air bersih disebabkan mereka menggunakan bekalan air semula jadi seperti air bukit dan bawah tanah.
"Yang mengalami ganguan bekalan air bersih itu ialah mereka yang menggunakan bekalan air masyarakat di bawah seliaan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Sada ambil tanggungjawab untuk melakukan penghantaran air bersih kepada mereka.
Pada masa sekarang sumber air semula jadi dari bukit seperti di daerah Pendang, Sik dan Padang Terap mula kering akibat cuaca panas yang berlaku pada hari ini," katanya.
Beliau berkata, Sada mengambil tindakan sewajarnya dengan melakukan penghantaran bekalan air bersih percuma kira-kira 470,000 liter setiap hari di kawasan tekanan air rendah dan terputus bekalan sumber air.
Katanya kerajaan negeri juga tidak akan melakukan catuan bekalan air sekiranya fenomena El Nino berterusan kerana jumlah takungan air di empangan utama berada pada tahap baik dan tidak kritikal.
Badrol Hisham turut memberi jaminan bekalan air dapat diberikan kepada penduduk di negeri ini seperti biasa serta bekalan air sedia ada mampu untuk membekalkan air untuk pertanian padi bagi musim 1/2016.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sada, Datuk Adzmi Din berkata, masalah tekanan air rendah dapat diselesaikan selepas dua projek pembesaran dan pembinaan loji baharu dapat disiapkan dalam tempoh terdekat.
"Kita sedang lakukan pengubahsuaian loji di Kulim Hi-Tech yang mana akan ditingkatkan kepada 300 juta liter sehari berbanding 150 juta liter sebelum ini untuk disalurkan kepada penduduk dan sektor perindustrian dan ianya dijangka siap pada Jun ini," katanya.
Beliau berkata, sebuah loji baharu di Pokok Sena yang mula dibina pada November tahun lepas dijangka boleh menyalurkan kira-kira 30 juta liter air kepada penduduk Pokok Sena, Pendang dan Kota Setar.
"Projek yang dijangka siap pada November 2017 itu dapat mengatasi masalah tekanan air rendah di daerah itu. Setakat ini Sada mempunyai 35 loji air yang menyalurkan bekalan air bersih di seluruh negeri ini.
Saya berharap masyarakat tidak perlu panik dengan situasi yang diviralkan dalam laman sosial kerana negeri ini mempunyai bekalan air yang cukup untuk aktiviti harian," katanya.