Monday 7 March 2016

Empayar Arteffects: Hasil kepuasan Hafiz Hamidun



Hafiz Hamidun
Hafiz Hamidun
MULA bertapak di dalam dunia seni sebagai seorang penyanyi nasyid, kini siapa sangka, Hafiz Hamidun berjaya mencipta namanya dengan kejayaan empayar perniagaan Arteffects Sdn. Bhd yang dibina sejak 10 tahun lalu.
Lebih membanggakan, pelantun lagu Jodoh Berdua ini berjaya mengembangkan perniagaan itu dengan pertambahan tujuh anak syarikat dalam pelbagai bidang bukan sahaja di dalam negara bahkan di peringkat antarabangsa sekali gus menambahkan lagi profil perniagaannya.
Bercerita di sebalik kejayaan itu, jejaka berusia 32 tahun ini mengakui tidak pernah mengehadkan bidang yang diceburi untuk mengembangkan perniagaannya.
“Sebenarnya sejak zaman saya belajar lagi saya sudah mulakan syarikat ini. Dahulu saya tidak ramai kawan dan banyak habiskan masa sendiri dengan membuat kajian mengenai individu-individu yang hebat dalam sesuatu bidang.
“Pengalaman yang paling saya tidak lupa pada 2008 apabila saya harus menebalkan muka untuk bertemu Datuk M Nasir semata-mata untuk mendapatkan pandangannya mengenai lagu yang saya cipta.
“Boleh dikatakan ramai individu yang berlainan bidang saya cuba dekati untuk meminta pandangan.
"Saya tidak kisah buat muka tebal sebab bila kita minat, kita harus belajar dan semuanya tidak mustahil kalau kita tidak takut untuk mencuba," katanya bersemangat.
Selain itu Hafiz berkata, pencapaian yang diraih pada hari ini tidak akan menjadi realiti tanpa bantuan team yang setia membina empayar bersamanya.
“Alhamdulillah, dalam masa 10 tahun saya nampak hasil yang membanggakan.
“Hasil ini juga adalah adalah kerja keras saya bersama team yang bersemangat dan tanpa mereka, saya tidak mampu melakukannya berseorangan.
“Mereka sangat dedikasi dan paling penting tidak berkira untuk melaksanakan tugasan semata-mata untuk mencari kepuasan dalam bekerja.
“Sebenarnya dalam perniagaan kita tidak boleh bekerja dalam masa yang terhad, jadi saya sangat bersyukur kerana memiliki team yang mampu mengikut rentak saya,” katanya ketika ditemui baru- baru ini.
Selain Arteffects Records, Hafiz turut menjalankan enam lagi anak syarikatnya seperti Arteffects Records, Arteffects Egypt, Arteffects South Africa, Mikraj Concept, Suflyka, Yellow Packs dan Cdnasyid.
Nafi jutawan
Berpegang pada prinsipnya, Hafiz akui keuntungan dalam perniagaan bukanlah matlamat utamanya melainkan keikhlasan dalam mencari rezeki.
“Secara jujurnya, keuntungan dan gelaran jutawan bukanlah fokus utama saya.
“Cukuplah untuk mencari rezeki yang berkat. Bila kita kuat dan ikhlas bekerja, Insya-ALLAH lebih banyak rezeki yang akan dikurniakan.
“Soal untung atau rugi, semuanya saya serahkan kepada Allah,” jelasnya.
Katanya lagi, penglibatannya dalam bidang perniagaan adalah mengikut permintaan dan keadaan semasa.
“Sebenarnya dalam perniagaan ini ada untung dan ruginya. Sebagai contoh, dalam keadaan sekarang ini peminat sudah tidak membeli CD. Jadi saya perlu pelbagaikan perniagaan tersebut dengan membuka perniagaan muat turun CD secara atas talian, tapi pada masa yang sama masih mengekalkan penjualan CD secara material.
“Ada di antara anak syarikat ini baru sahaja ditubuhkan dan syarikat yang sedia ada saya cuba perbaiki kelemahannya,” ujarnya.
Dalam perkembangan terbaharunya, selain tampil dengan buku Cerita Hati Hafiz Hamidun, penyanyi nasyid yang terkenal dengan album Zikir Terapi itu juga bakal tampil dengan produk wangian di bawah anak syarikat Suflyka yang dijangka dilancarkan pada akhir April ini.

No comments:

Post a Comment