Monday 7 March 2016

Fauziah Gous jawab isu cemburukan gaun pengantin




Fouziah Gous

SEJAK seminggu lalu, gaun pengantin yang digayakan oleh aktres cantik, Anzalna mendapat perhatian yang cukup meluas. Rata-rata memuji gaun rekaan Teuku Putra Aziz dari butik Cosry itu.
Bagaimanapun dalam pada itu, timbul khabar angin yang mendakwa seorang selebriti berambut hitam lebat yang juga pernah mendapatkan khidmat Cosry sewaktu majlis persandingannya menghasut pereka itu agar menghasilkan baju pengantin Anzalna ala kadar sahaja.
Daripada beberapa komen, nama aktres tinggi lampai, Fouziah Gous, dikaitkan dengan khabar angin tersebut.
Tidak melatah dengan tuduhan yang dilemparkan kepadanya, Fouziah berkata, dia tidak mempunyai sebab untuk merasa dengki atau cemburu dengan Anzalna, lebih-lebih lagi bekas peserta Dewi Remaja itu merupakan teman rapatnya.
“Saya rasa sangat mengarut dan kelakar bila ada yang mengaitkan saya sebagai individu yang dengkikan baju persandingan Anzalna, walaupun saya tak pernah membaca gosip tersebut.
“Tak ada sebab untuk saya berbuat seperti itu kerana hubungan kami agak rapat dan sebelum majlis perkahwinan Anzalna lagi, kami sudah berbual mengenai baju yang dihasilkan oleh Cosry.
“Kalau ada yang mengaitkan saya sebagai individu yang cemburukan Anzalna menerusi status di lama Instagram saya, saya rasa meraka tak pandai baca. Terang-terang saya letakkan hashtag baju pengantin win (menang) dan saya juga naikkan status itu dalam nada bergurau.
“Bagi saya setiap wanita ada kecantikan mereka yang tersendiri pada hari perkahwinan mereka,” jelasnya kepada Zass.
Dalam perkembangan lain, Fouziah berkata, dia kini sibuk menguruskan perniagaan dan dalam masa yang sama memberi tumpuan penuh kepada puteranya, Muhammad Zeeshan, 3 bulan.
Kata isteri kepada Mohd Zhafran ini, dia menguruskan sendiri Zeeshan dan sekiranya mempunyai urusan di luar, ibu mertuanya akan membantu menguruskan anaknya itu.
“Sejujurnya saya dapat banyak tawaran berlakon tapi semuanya tidak sesuai dengan apa yang saya mahukan. Ada yang memerlukan saya menjalani penggambaran di luar.
“Bagi saya kini komitmen terhadap anak adalah yang utama, lebih-lebih lagi dia menyusu badan dan saya menguruskan dia sendiri.
“Jadi agak susah untuk memberi komitmen terhadap bidang lakonan. Bagaimanapun tawaran yang kecil yang tidak melibatkan bidang lakonan ada saya terima dan saya juga turut dilantik menjadi duta sebuah produk.
“Bagaimanapun masih terlalu awal lagi untuk berbual panjang mengenai perkara ini, walaupun saya sudah menandatangani kontrak. Tunggulah masa yang sesuai,” ujarnya.
Bercerita lanjut mengenai Zeeshan, Fouziah berkata, walaupun baru berusia tiga bulan, namun anaknya itu menunjukkan perkembangan yang pantas.
“Dia sekarang dah pandai berbual dan dia juga faham apa yang kami katakan. Kalau saya cakap saya nak solat atau buat kerja, dia akan faham dan bermain sendiri. Tapi kalau saya tinggalkan dia begitu sahaja, dia akan menangis.
“Begitu juga kalau daddynya membaca al-Quran, dia suka mendengar. Tapi kalau kami buka bacaan ayat al-Quran, dia tidak akan fokus seperti dia fokus ketika daddynya yang membaca.
“Memang seronok menjaga dia kini. Rasa tenang je bila melihat dia,” katanya.
Tidak seperti selebriti lain yang sudah mendedahkan anak ke dalam bidang seni sejak kecil, Fouziah berkata, buat masa ini dia cuba mengelak untuk mendedahkan Zeeshan pada usia muda, termasuk menghadiri sesi fotografi.
Bagaimanapun ujarnya, sekiranya suatu hari nanti Zeeshan menunjukkan minat terhadap bidang seni, dia tidak akan menghalang minat anaknya itu.
“Untuk permulaan ini saya memang tak nak dedahkan kerana bagi saya dia terlalu kecil. Tunggulah dia tegap sikit.
“Saya juga tidak akan memaksa dia membuat perkara yang dia tidak suka. Kalau bidang seni menjadi pilihan dia suatu hari nanti, saya juga tidak akan menghalang,” akhirinya.

No comments:

Post a Comment