Tuesday, 8 March 2016

Kembar seiras peroleh 11A



Kembar seiras peroleh 11A
Pasangan kembar Ain Najwa (kanan) dan Ain Najihah menunjukkan keputusan 11A dalam SPM yang berjaya diperoleh mereka.
KUANTAN – Doa pasangan kembar seiras untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2015 termakbul apabila mereka berjaya mendapat 11A.
Selain gigih mengulangkaji pelajaran, Ain Najwa Mohd Rosi dan Ain Najihah, 17, menunaikan solat hajat secara berjemaah bersama pelajar lain dan membaca al-Quran secara berterusan untuk mendapatkan ketenangan hampir setiap malam.
Dua pelajar Sekolah Menengah Agama Tengku Ampuan Fatimah (SMATAF), Pekan itu muncul antara pelajar terbaik SPM 2015 yang diumumkan kelmarin.
Ain Najwa berkata, mereka berdua meluangkan masa antara enam hingga tujuh jam setiap hari untuk mengulang kaji pelajaran sebagai persiapan menghadapi SPM tahun lalu.
Menurutnya, tumpuan sepenuhnya ketika guru mengajar di dalam kelas juga menjadi faktor dia beroleh kejayaan yang begitu membanggakan kepada keluarga dan sekolah.
“Saya tidak menyangka keputusan terbaik itu berjaya diraih kerana pada peperiksaan percubaan saya hanya mendapat 9A dan 2B sementara adik (Ain Najihah) mendapat 10A dan 1C,” katanya.
Remaja itu berkata, keputusan yang kurang memuaskan pada peperiksaan percubaan menjadi pendorong kuat kepada mereka untuk berusaha lebih gigih pada peperiksaan sebenar
Katanya, dia mahu melanjutkan pengajian dalam bidang psikologi di institusi pengajian tinggi..
Sementara itu, Ain Najihah berkata, walaupun berazam untuk mendapat keputusan 11A, namun dia menganggap ia sesuatu yang  mustahil baginya.
“Saya dan kakak seperti tidak percaya melihat keputusan yang diterima...kami beberapa kali melihat nama pada kertas keputusan bimbang mungkin bukan milik kami.
“Saya bersyukur penat lelah berusaha untuk meraih keputusan terbaik akhirnya menemui kejayaan yang begitu membanggakan, berkat doa kami dan ibu bapa serta guru akhirnya kejayaan berpihak kepada kami,” katanya yang berminat dalam bidang farmasi.
Pasangan kembar itu kini melanjutkan pengajian di Kuliah Al-Lughah Waddin As-Sultan Abu Bakar, Pekan sebelum berpeluang mengambil peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2016.
Bapa mereka, Mohd Rozi Ab Hamid, 48 berkata, kebolehan anak kembarnya terbukti apabila sebelum ini mereka mendapat 5A pada Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang diduduki di Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist (MGS), di sini.
Katanya, dia dan isteri, Azrina Othman, 44 bersyukur kerana doa mereka termakbul apabila Ain Najwa dan Ain Najihah meraih kejayaan membanggakan dalam peperiksaan.

No comments:

Post a Comment