Tuesday, 8 March 2016

Nasi lemak 50 sen: Cari rezeki sambil bersedekah



Nasi lemak 50 sen: Cari rezeki sambil bersedekah
Che Wan Mazura meletakkan senarai harga bagi mempromosikan nasi lemak 50 sen di gerai jualannya di laluan Ajil-Kuala Berang.
BIARPUN ramai peniaga menaikkan harga makanan dengan alasan kos pembuatan meningkat, namun seorang peniaga, Che Wan Mazura Che Wan Semeran, 42, mengambil pendekatan berbeza dengan menjual nasi lemak dan juga teh O berharga 50 sen sebungkus.
Walaupun saiz agak kecil, namun harga ‘samah jah’ itu ternyata berbaloi kerana pembeli dapat menikmati nasi lemak berlaukkan sambal bilis, telur dan timun.
Ibu dua anak itu berkata, dia mula berniaga nasi lemak dua bulan lalu di hadapan rumah sewanya di Kampung Padang Tara, Kuala Berang.
Katanya, kesusahan hidup yang dilalui mendorong dia menawarkan harga ‘samah jah’ kepada pembeli.
“Saya mahu mengurangkan kos perbelanjaan orang ramai kerana dengan ekonomi sekarang, semua barang mahal. Ini saja cara saya boleh tolong orang lain sambil bersedekah. Walaupun dijual dengan harga 50 sen, tetapi saya masih boleh untung. Lagipun banyak atau sedikit turut bergantung pada jumlah bungkusan yang dijual.
“Alhamdulillah, nasi lemak yang dijual mencecah 150 bungkus sehari sejak saya buka gerai jualan di tepi jalan ini, dua minggu lalu. Pernah ada pelanggan beli sehingga 20 bungkus. Dengan dibantu dua anak saudara (Nor Sharaaiza Azman, 25 dan Nor Arishawani Imuari, 18) gerai ini mula dibuka sekitar jam 7 pagi sehingga 10.30 pagi. Itu pun bergantung pada makanan. Kalau habis cepat, awallah kami balik,” katanya.
Menurut Che Wan Mazura yang turut menjaga lima anak saudara berumur antara 25 tahun hingga 9 tahun, saban hari dia bangun seawal jam 3 pagi untuk melakukan persiapan jualan.
Katanya, selain nasi lemak, dia turut menjual beberapa jenis nasi lain seperti nasi minyak dan nasi dagang.
“Biasanya saya akan tidur sekitar jam 9 malam selepas selesai melakukan persiapan untuk berniaga pada esoknya. Bermula jam 3.30 pagi, saya kembali ‘berperang’ di dapur untuk sediakan jualan dan sekitar jam 6.30 pagi, keluar dari rumah untuk ke tapak jualan.
“Kalau dikira penat, memanglah penat, tetapi semua itu digagahi juga untuk mencari rezeki. Saya juga ada jual pelbagai kuih-muih. Ada dibuat sendiri, ada juga diambil daripada jiran atau suri rumah,” katanya
Menyentuh mengenai perancangan masa depan, Che Wan Mazura berhasrat untuk membuka satu lagi cawangan bagi membolehkan lebih ramai individu berpendapatan rendah membeli nasi lemak dengan harga 50 sen.
Katanya, dia juga tidak kisah sekiranya ada peniaga lain turut menawarkan harga sedemikian kerana menganggap ia persaingan sihat dan lebih penting dapat mencari rezeki sambil bersedekah.

No comments:

Post a Comment