Tuesday, 8 March 2016

‘LPT2 memang kawasan mereka’




‘LPT2 memang kawasan mereka’

INSIDEN seekor harimau bunting mati dilanggar di Kilometer 321.2 Lebuhraya Pantai Timur Fasa 2 (LPT2), di Kerteh 6 Februari lalu sememangnya menggemparkan orang ramai sekali gus menggusarkan mereka yang sering melalui lebuh raya itu di waktu malam terutama kepada penunggang motosikal.

Bagaimanapun kejadian itu bukanlah sesuatu kejadian luar biasa atau aneh bagi penduduk Kampung Chabang yang terletak berdekatan kawasan kemalangan itu kerana sang belang sememangnya menghuni hutan simpan Rasau Kerteh di kiri dan kanan lebuh raya itu.
Kemalangan mengejutkan melibatkan harimau betina bunting yang sedang melintas lebuhraya pertama kali dilaporkan di negeri ini dan kejadian itu berlaku tidak sampai dua kilometer dari Kampung Chabang, Kerteh.
Salah seorang penduduk kampung berkenaan yang juga peniaga kedai runcit, Zubaidah Azam, 49, berkata, beberapa orang penduduk kampungnya pernah terserempak dengan harimau yang sedang melintas di sekitar lokasi kemalangan itu berlaku sebelum ini selain kelibat harimau itu juga kelihatan di dalam kebun getah bersebelahan hutan di tepi lebuh raya itu.
“Situ memang tempat harimau melintas, kadang-kadang nampak seekor dan kadangkala dua ekor, tapi sekarang dah mati pun seekor. Harimau-harimau itu suka main (merayau cari makanan) di kawasan kebun getah di tepi lebuhraya itu.
“Kawasan itu (lebuh raya) asalnya hutan jadi tak hairanlah adanya harimau. Malah sebelum LPT2 dibina lagi dah ada orang nampak harimau di kawasan itu, waktu itu harimau yang orang nampak masih kecil,” katanya.
Tambahnya lagi, sudah menjadi kemestian kepada pemilik kebun getah di kawasan itu untuk meletakkan seekor patung harimau besar di dalam kebun getah masing-masing untuk menghalau binatang liar lain seperti babi hutan dan kera daripada merosakkan tanaman mereka.
Bagaimanapun, mungkin kerana menyangkakan patung itu adalah benar-benar seekor harimau, harimau yang menghuni hutan itu pernah mendekati patung harimau berkenaan.
“Tok imam masjid di kampung ini pernah terkejut tengok ada dua ekor harimau dalam kebunnya sedangkan dia cuma letak satu saja patung harimau dalam kebun getahnya, lepas dia perhati betul-betul baharulah dia tahu yang seekor lagi harimau asli.
“Ramai lagi orang menoreh (penoreh getah) lain yang dah nampak harimau dalam kebun mereka, cuma setakat ini harimau tak pernah kacau lagi manusia, kalau nampak manusia pun, harimau itu lari ke arah hutan,” katanya.
Katanya, dia dan lebih 1,000 penduduk Kampung Chabang juga sudah terbiasa mendengar ngauman harimau pada waktu awal pagi ketika mereka berada di rumah masing-masing.
Zubaidah berkata, kelibat harimau juga pernah dilihat sedang minum air di kawasan air terjun Hutan Lipur Air Menderu yang terletak dalam kawasan kampung mereka.
Sementara itu, Zohli Mat Adam, 52, berkata, sebelum ini kelibat harimau juga pernah dilihat di dalam kebun kelapa sawit berdekatan dengan kebun getah.
“Tapi sekarang sebab pokok sawit itu sudah ditebang untuk projek tanaman semula jadi harimau itu tidak lagi masuk ke dalam kawasan ladang sawit itu sebab kawasannya dah terang, sebaliknya sang belang itu kini lebih kerap nampak merayau dalam kebun getah.
“Walaupun orang kampung banyak kali nampak harimau tapi sebab harimau itu nampak macam jinak dan tak ganas jadi orang kampung pun tak rasa takut sangat,” katanya.
Katanya, setakat ini harimau yang menghuni hutan itu pernah membaham binatang ternakan penduduk sahaja iaitu lembu dan kambing.
“Pada pertengahan tahun lalu, harimau pernah makan seekor kambing milik penduduk tapi jarang-jarang sangat berlaku kes harimau makan binatang ternakan ini. Selain harimau, kawasan hutan di sini juga ada tapir kerana tapir pernah keluar ke tepi jalan tidak jauh dengan Plaza Tol Kerteh dan ada juga yang mati dilanggar.
Dalam pada itu, penternak lembu, Mat Shakri Adam, 38, berkata, lembu peliharaannya pernah dikejar dan dicakar harimau selain dia sendiri juga pernah terdengar ngauman ketika sedang memintas lembunya yang dilepaskan ke dalam kebun getah untuk makan rumput.
Katanya, kawasan hutan simpan Rasau Kerteh sememangnya habitat asal harimau dan sehingga kini masih banyak harimau di Air Menderu, Air Hitam, Bukit Mempusi dan Ladang Felcra Chabang yang bersempadan dengan Kemasik.
“Malah, Bukit Harimau Menangis yang terletak kira-kira tiga kilometer dari Kampung Chabang juga mendapat nama kerana adanya harimau di kawasan itu puluhan tahun dahulu.
“Biasanya harimau ini keluar dari hutan dari waktu tengah malam hingga ke Subuh (awal pag) kerana waktu itu lebuh raya lenggang,” katanya.
Berikutan itu, Mat Shakri mewakili penduduk mencadangkan agar tindakan diambil oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan pihak kerajaan bagi terus memelihara habitat harimau yang kini diancam kepupusan.
“Kalau boleh pindahkan harimau yang masih ada di kawasan ini lagi bagus sebab harimau turut mengancam binatang ternakan penduduk.
“Selain itu, untuk jangka masa pendek juga papan tanda amaran haiwan liar melintas wajar diletakkan di sekitar LPT2 di Kerteh untuk memberi peringatan kepada pengguna lebuh raya agar tidak memandu laju di kawasan itu. Pagar lebuh raya pun kena sentiasa dibaiki kerana ada saja pagar yang runtuh dan yang dirosakkan,” katanya.

No comments:

Post a Comment