Wednesday 16 March 2016

Konsert tribute hargai seniman terulung




Konsert tribute hargai seniman terulung

HANYA kerana uzur, pejuang lagu asli, Tan Sri SM Salim terpaksa menolak undangan bagi menjayakan persembahan pentas.
Pernah meluahkan keinginan untuk kembali menyanyi, namun di kala usia 88 tahun keadaannya tidak mampu bergerak cergas dan berkerusi roda, memusnahkan harapannya itu.
Situasi itu sekali gus mengecewakan anak kelahiran Kampung Baru, Kuala Lumpur ini termasuklah peminat setia penyanyi sejati itu.
Pun begitu, peminat SM Salim yang merindui lagu-lagunya tidak melepaskan peluang menyaksikan Konsert Tribute To A Living Legend Tan Sri Salim di Auditorium Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), 12 Mac lalu.
Biarpun tidak mendengar suara merdu daripada penghibur jiwa itu sendiri, sekurang-kurangnya kerinduan peminat terhadap lagu-lagu SM Salim terubat.
Difahamkan, konsert tribute ini adalah konsert penghargaan yang pertama diadakan sebagai tanda hormat kepada seniman agung yang masih hidup.
Ia dianjurkan Yayasan Artis 1 Malaysia (YA1M) dengan kerjasama DBKL, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (Padat), Warner Music dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Semua sedia maklum, lagu-lagu Biduan Negara ini dilengkapi dengan lenggok bahasa yang puitis dan romantis.
Jadi, tidak mahu kalah, perjalanan konsert ini turut dipenuhi dengan bait-bait pantun seloka indah yang dikendalikan oleh pengacara popular, Faizal Ismail.
Lebih menggembirakan lagi, meskipun dalam keadaan uzur, kehadiran SM Salim ke auditorium sangat dinanti-nantikan semua penonton yang merinduinya.
Tirai persembahan dibuka kira-kira jam 9 malam oleh kumpulan koir kebangsaan yang menari sambil menyanyi ketika mendendangkan lagu Bergending Dang Gong dan Satu.
Ia kemudiannya diteruskan dengan nyanyian daripada kumpulan nasyid Raihan menerusi lagu Assalamualaikum diikuti persembahan bertenaga daripada Bob Yusof dengan lagu Pantun Budi.
Tidak dilupakan, lagu-lagu asli seperti Pasir Roboh dan Bunga Ros yang dibawakan Asmidar dan Zur Eda.
Pentas kembali hangat apabila pejuang lagu asli kelahiran Baba Melaka, Datuk Andre Goh berjaya membuatkan penonton terkesima ketika membawakan lagu Tak Seindah Wajah sehingga mendapat tepukan gemuruh.
Seterusnya penonton diperdengarkan dengan lagu Kenang Daku Dalam Doamu oleh Ezad Lazim, Ku Bermohon Kasih (Alyah) dan Angan-Angan Kosong duet di antara Syafinaz dan Haziq.

Lebih meriah
Namun, konsert kembali meriah apabila Zahid menyanyikan lagu seloka popular, Apa Dah Jadi melalui gayanya tersendiri.
Tidak cukup itu, persembahan diteruskan dendangan daripada penyanyi terkenal era 60-an, Datuk A Rahman Hassan yang menyampaikan lagu Selamat Tinggal Bungaku.
Ia disusuli dengan lagu Bunga Tanjung oleh Noraniza Idris, Sri Siantan (Datuk Yusni Hamid) dan Pandang-Pandang Jeling-Jeling duet Yusni Hamid dan Datuk DJ Dave.
Persembahan seterusnya sangat dinanti-nantikan penonton lantaran menampilkan gandingan serasi di antara Datuk Khatijah Ibrahim dan Datuk Ramli Sarip menerusi lagu Selasih Ku Sayang.
Bagaimanapun, Ramli yang berduet dengan rakan karibnya, Datuk M Nasir dan Usop Kopratasa meninggalkan pengalaman hebat ketika menyampaikan lagu Zaman.
Penutup konsert yang berlangsung hampir dua jam itu dengan penampilan kesemua 17 penyanyi dalam menyampaikan lagu Joget Jambu Merah.
Bahkan, perjalanan konsert itu turut diiringi alunan muzik daripada Orkestra Kuala Lumpur yang diketuai Mohamad Adzan Mohd Fadzil.
Lebih membanggakan, auditorium yang mempunyai 700 tempat duduk itu juga penuh bahkan semua penonton yang hadir sangat berpuas hati dan terpesona dengan persembahan semua artis terkenal.
Pada masa sama, YA1M turut mengambil kesempatan dengan memberi penganugerahan khas kepada SM Salim yang terkenal dengan jolokan Bapa Lagu Melayu Tradisional itu.
Sebelum itu, di pekarangan auditorium, turut diadakan pameran mengenai sejarah hidup, latar belakang dan pencapaian yang dimiliki oleh bapa kepada tujuh anak itu.
Kesempatan itu juga diambil bagi mengumpul dana hasil sumbangan dan penjualan tiket melalui badan korporat untuk disalurkan kepada dana bantuan dan kebajikan YA1M.
SM Salim atau nama sebenar Sheikh Salim Sheikh Muhammad Al Mahros seniman kedua selepas P Ramlee bergelar Tan Sri.
Mengimbas kembali, SM Salim mula bekerja sebagai juruhebah Radio Malaya secara sambilan sejak 1957 dan ketika itu dikenali penyanyi lagu Melayu klasik (tradisional).
Beliau diberi Anugerah Biduan Negara oleh Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan kerana sumbangan memperjuangkan lagu asli Melayu.

No comments:

Post a Comment