BERIKUTAN atas dasar keselamatan dan keselesaan peminat, kumpulan legenda, Search mengambil keputusan untuk menunda konsert mereka ke tarikh baharu iaitu pada malam 30 Ogos ini.
Menurut vokalisnya, Suhaimi Abdul Rahman atau Amy memberitahu, tarikh itu dipilih kerana mahu meraikan ulang tahun mereka di ambang malam kemerdekaan negara.
“Kami anggap malam konsert itu sebagai perayaan berganda di mana peminat yang hadir bukan sahaja dapat memeriahkan ulang tahun kami, malah pada masa yang sama turut menyambut kemerdekaan negara yang ke 59 tahun.
“Sempena itu juga, kami mewujudkan #demicintakupadamu sepanjang konsert berlangsung sebagai medium buat peminat untuk berkongsi rasa sayang dan cintakan negara,” katanya pada sidang media mengenai penundaan Konsert Search 35 Tahun, semalam.
Biarpun penundaan berlaku, Search menafikan sebarang persiapan dan persediaan mengenai konsert terjejas malah menjanjikan persembahan yang berbaloi untuk ditonton oleh semua peminat yang hadir tambahan pula beberapa gimik akan ditonjolkan pada malam itu.
“Pada hari ini, kami juga ingin mengumumkan bahawa pada malam konsert nanti, seorang gitaris hebat iaitu Akira Takasaki dari Loudness akan diterbangkan khas untuk penampilan istimewa pada malam penuh bersejarah itu.
“Sebenarnya hubungan baik di antara kami sudah lama terjalin dan kali ini kami juga tidak sangka Akira bersetuju untuk turut serta dalam persembahan istimewa ini.
“Walaupun penundaan tarikh berlaku, namun ia tidak akan menjejaskan persiapan kami malah apa kami yakin mampu memberikan persembahan yang terbaik untuk tontonan peminat yang tidak jemu menyokong kami sehingga hari ini,” jelas pemain bass, Nasir.

Tiket percuma
Sementara itu, ketua pengarah konsert, Shamil Yusof menafikan penundaan tarikh konsert tidak menjejaskan penjualan tiket malah sehingga hari ini jumlah pembelian semakin meningkat.
“Masalah teknikal seperti ini tidak menjejaskan penjualan tiket kerana kami percaya aura dan pengaruh Search mampu menarik peminatnya untuk membeli tiket.
“Selain itu, persembahan konsert yang dirancang juga meyakinkan kami bahawa peminat yang hadir pada malam itu akan benar-benar terhibur.
“Saya melihat sendiri semangat dan keterujaan Search untuk memberikan persembahan yang terbaik buat peminatnya,” tegasnya.
Pada masa yang sama, Shamil turut mengumumkan berita baik buat pembeli tiket sebelum keputusan penundaan konsert berlaku apabila mereka akan diberikan satu tiket RM135 secara percuma sebagai imbuhan istimewa.
“Selepas pengumuman konsert, sudah ramai peminat yang membeli tiket awal dan kami amat berterima kasih dengan sokongan itu.
“Sebagai penghargaan kami akan memberikan satu tiket percuma kepada mereka yang membeli sebelum pengumuman penundaan konsert.
“Pemberian itu adalah sebagai satu imbuhan dan penghargaan kami untuk mereka,” katanya.
Buat peminat yang berminat untuk menyaksikan persembahan ini, tiket boleh dibeli menerusi melalui www.ticketpro.com.my dan potongan harga istimewa diberikan sehingga 1 Mei ini.