SEJAK kebelakangan ini, kelibat pelakon baharu mula membanjiri industri lakonan.
Bahkan setiap kali drama baharu bersiaran, kebanyakan pelakon terlibat mereka yang masih hijau di dalam bidang lakonan.
Biarpun masih ada yang giat mencipta nama, namun itu bukan penghalang  pengarah mengambil mereka membintangi drama tersebut.
Begitu jugalah pendekatan diambil A Aida Production Sdn Bhd menerusi drama terbaharu terbitannya, Bodyguard.
Drama arahan Nuad Othman ini membariskan gandingan muka baharu dan lama iaitu Fattah Amin, Azrel Ismail, Idris Khan, Lan Siro dan Sabhi Saddi teraju utama.
Drama bersiri 20 episod ini disiarkan sejak 2 Mac lalu setiap Isnin hingga Rabu jam 10 malam.
Bercerita mengenai pembikinan drama ini, biarpun mempertaruhkan muka baharu, namun Nuad percaya, Bodyguard mempunyai kekuatan tersendiri.
"Kalau diikutkan hanya Lan Siro sahaja yang lama, manakala Fattah pula walaupun dikira masih baharu, tapi dia sudah banyak membintangi drama, tetapi Bodyguard merupakan drama aksi pertamanya.
"Manakala Azrel, Idris dan Sabhi boleh dikira masih baharu lagi.
"Walaupun saya mengarahkan drama dibintangi muka baharu, tapi saya tidak jual hero semata-mata, sebaliknya drama ini ada kekuatan tersendiri. Malah saya puji semua pelakon memberikan yang terbaik untuk drama ini," katanya.
Menjalani sesi penggambaran selama 40 hari di sekitar Kuala Lumpur, Bodyguard mengisahkan lima jejaka Faris (Fattah), Rayyan (Azrel), Daniel (Idris), Rahul (Lan) dan Basri (Sabhi) yang bekerja sebagai pengawal peribadi di sebuah agensi milik Nasha (Farahdhiya).
Setiap seorang daripada mereka mempunyai kemahiran berbeza-beza. Faris, pakar penembak. Azrel Ismail sebagai pakar taktik peperangan. Rahul dan Basri pula pakar dalam kombat dan medik. Manakala Daniel pakar perunding dan dalam bidang teknologi.
Namun dalam melaksanakan tugas dan misi yang berisiko, lima pengawal ini bukan sahaja bakal bergelut dengan risiko profesion mereka, tetapi juga konflik kehidupan peribadi mereka tersendiri.
Malah soal cinta juga turut menjadi sebahagian kisah ini apabila Nasha terperangkap dengan cinta segi tiga bersama Faris dan Rayyan.
Selain lima watak utama, penonton juga akan melihat kemunculan beberapa pelakon lain dan penampilan khas seperti Datuk Hattan, Adibah Yunus, Hafizul Kamal dan ramai lagi.
Tambah Nuad, bagi menjayakan drama ini, kesemua pelakon utama telah dihantar untuk latihan intensif bagi mempersiapkan diri mereka untuk memegang watak ini.
Asas latihan menembak dan menunggang kuda adalah di antara kemahiran yang mereka pelajari ketika pembikinan drama ini.
Malah Nuad yang juga merupakan seorang guru silat turut memberi tunjuk ajar dalam seni mempertahankan diri.
"Kebanyakan mereka memang tidak ada asas seni mempertahan diri Jadi bila diberi tunjuk ajar, Alhamdulillah mereka mampu lakukan.
"Walaupun dalam satu babak Idris dipukul betul-betul kerana tersalah langkah, tapi bagi semua, itu adalah satu pengalaman," ujarnya.

Rujuk persatuan
Tidak hanya menggarap drama mengikut pengalaman, Nuad berkata, mereka juga dapat bimbingan Persatuan Pegawai Peribadi Malaysia.
"Mereka turut mendapat tunjuk ajar dan penjelasan mengenai tugas sebenar pengawal peribadi oleh Timbalan Presiden, Encik Basri.
"Secara peribadi, saya sendiri tidak tahu mengenai kewujudan persatuan ini sehinggalah saya menghasilkan drama ini," katanya.
Nuad berkata, apa yang diharapkan penonton akan terhibur dan pada masa sama, memahami tugas sebenar pengawal peribadi.
"Saya sudah usaha yang terbaik. Saya harap penonton suka," akhirinya.
Bagi anda yang ingin mengetahui apakah risiko bakal mereka hadapi? Bagaimanakah lima jejaka ini bakal menyempurnakan tugas mereka?
Jangan lupa menyaksikan drama Bodyguard.