KUCING yang boleh bermain piano? Bunyinya agak kelakar tetapi memang ada seekor kucing yang boleh bermain alat muzik itu.
Kucing yang diberi nama Nora itu diajar oleh tuannya, iaitu seorang guru piano di New Jersey, Amerika Syarikat.
Pemilik Nora telah memuat naik video Nora bermain piano di laman video, YouTube. Video tersebut ditonton oleh ratusan ribu penonton seluruh dunia.
Kebetulan, seorang komposer, Mindaugas Piecaitis menonton video Nora dan beliau mendapat idea untuk mencipta lagu mengikut petikan piano kucing itu.
“Saya menyatakan hasrat saya kepada tuannya dan beliau bersetuju untuk bekerjasama dengan saya. Tuan Nora menghantarkan video tersebut menerusi kiriman emel,” katanya.
Mindaugas berjaya menyiapkan lagu berkenaan dan mempersembahkan lagu itu dalam sebuah persembahan orkestra.