REMAJA berusia 14 tahun ini berhasrat untuk memecahkan stereotaip, sekali gus menjadi balerina pertama yang memakai hijab.
Stephanie Kurlow dari Australia memeluk agama Islam bersama ibu bapa dan adik beradiknya kira-kira enam tahun lalu.
Pada awalnya, remaja ini turut bimbang jika impiannya itu mungkin terhalang selepas penghijrahan tersebut.
“Bagaimanapun, persepsi itu akhirnya berubah kerana saya tidak melakukan perkara yang dilarang agama Islam dan masih mengenakan pakaian sesuai. Oleh itu, saya akan meneruskan cita-cita untuk bergelar balerina pertama yang bertudung.
“Saya hanya mahu berkongsi keindahan seni tarian balet. Menari sama seperti sedang terbang kerana ia membuatkan saya rasa bebas,” katanya yang mula menari sejak berumur dua tahun dan pernah membuat persembahan dengan Rivershide Theatre sehingga 2010.
Menurutnya, dia berharap impiannya itu dapat direalisasikan jika berjaya mengumpulkan dana AS$10,000 (RM41,500) untuk mendapatkan latihan sepenuh masa di sekolah balet.
Remaja tersebut juga berhasrat untuk membuka sekolah seni persembahan di Sydney pada satu hari nanti selain memberi inspirasi kepada golongan muda yang tidak berasa yakin untuk menggapai impian mereka akibat pelbagai kekangan termasuk dari segi agama.