Monday 7 March 2016

London Has Fallen lebih aksi, kejutan




London Has Fallen

FILEM mengenai Presiden Amerika Syarikat bukanlah karya baharu yang dipersembahkan produksi Hollywood.
Antara filem yang berkisarkan Presiden Amerika Syarikat dan Rumah Putih adalah White House Down (2013), Air Force One (1997), The American President (1996) dan banyak lagi.
Kini, selepas Olympus Has Fallen (2013) yang berkisarkan mengenai Presiden Amerika Syarikat dan Rumah Putih, sekuel filem itu kembali dengan London Has Fallen.
Masih mengekalkan tiga tonggak utama dari filem terdahulu iaitu Gerard Butler, Aaron Eckhart dan Morgan Freeman, sekuel kali ini diarahkan oleh Babak Najafi.
Jika dalam Olympus Has Fallen, ejen perkhidmatan rahsia AS, Mike Banning (lakonan Butler) melindungi Presiden AS, Benjamin Asher (lakonan Eckhart) apabila White House diserang pengganas, dalam London Has Fallen, Mike melakukan perkara yang sama terhadap Asher apabila presiden itu mahu dibunuh pengganas.
Kisah kali ini bermula di London, di mana kematian misteri Perdana Menteri British menyebabkan semua pemimpin-pemimpin di dunia Barat berkumpul untuk pengebumiannya.
Ejen Secret Service, Mike Banning, kemudian menemui plot pembunuhan yang merancang untuk menghapuskan pemimpin dunia tersebut.
Hanya Banning; Presiden Amerika Syarikat, Benjamin Asher; dan seorang ejen MI-6 mampu menghentikan plot maut itu.
Secara jujurnya, tidak banyak yang boleh diharapkan di dalam filem ini kerana jalan cerita dan intipatinya tidak banyak berbeza dari filem terdahulu.
Bagaimanapun, biarpun sama, namun ia masih memberi kejutan dan Najafi berjaya menyuntik perasaan ingin tahu penonton untuk mengetahui apakah yang akan terjadi kepada Presiden AS itu.
Seperti biasa juga, anda akan dihidangkan dengan aksi lasak dan ganas, pembunuhan demi pembunuhan yang penuh debaran dalam usaha menyelamatkan Presiden AS itu.
Biarpun jalan ceritanya mudah di agak, namun cara pembikinan, babak aksi pergaduhan, aksi tembak-menembak dan barisan pelakon adalah kelebihan filem ini.
Lakonan mantap
Antara lain yang membantu mencantikkan filem ini lagi adalah lakonan mantap tonggak utama filem ini.
Biarpun masing-masing sudah berumur, namun itu tidak menjadi penghalang untuk menarik penonton ke pawagam.
Bahkan mereka tampak masih tegap setanding dengan pelakon muda Hollywood yang ada.
Dengan permainan emosi yang mendalam dan keberkesanan lakonan membuatkan penonton tidak terasa bosan sepanjang sejam 39 minit menonton filem berkenaan.
Secara keseluruhannya bagi anda yang ingin mengetahui siapakah kali ini yang merancang untuk membunuh Presiden AS itu dan berjayakah Banning menyelamatkan Presiden AS, jangan lupa untuk menyaksikan filem ini di pawagam!

No comments:

Post a Comment