PERJALANAN karier seni aktres, Lucy Liu dalam arena perfileman Hollywood bukanlah sesuatu yang mudah.
Meskipun dilahirkan di Queens, New York City, Amerika Syarikat, Liu merupakan seorang pelakon berdarah Cina.
Oleh itu, soal keturunan sering dijadikan tajuk perbincangan dan persoalan sejak awal kemunculannya dalam mengharungi kerjaya sebagai pelakon.
Pun begitu, berbekalkan semangat yang kental, Liu berjaya mengharungi kegetiran itu dengan bijak hingga namanya tergolong sebaris dengan aktres Hollywood kelas A.
"Saya bangga dengan warisan dan keturunan saya. Tapi, risau juga apabila ada yang prejudis terhadap saya.
"Lagi pula, misi saya adalah untuk menggapai impian dan bergelar bintang Hollywood, sekaligus meniti hidup seperti manusia lain.
"Namun, lama kelamaan, saya sudah biasa dan lali dengan isu itu. Malahan saya cuba mengimbangi antara budaya Cina dan keinginan saya melangkaui pengalaman bergelar warga negara Amerika-Asia.
"Kadang-kadang saya sendiri keliru sama ada saya orang Asia atau Amerika Syarikat, lalu saya perlu mengenalpasti latar belakang sebenar diri ini,” katanya.
Pemilik nama penuh Lucy Alexis Liu ini mula dikenali melalui watak Ling Woo dalam siri televisyen Ally McBeal (1998-2002) dan pernah dicalonkan untuk Anugerah Emmy.
Ironinya, karier lakonan aktres berusia 47 tahun ini sudah pun bermula lapan tahun sebelum itu dengan menggunakan nama Cinanya, Yu Ling.
Namanya semakin meningkat naik selepas membintangi pelbagai filem seperti Payback (1999), Charlie’s Angels (2000), Shanghai Noon (2000), Kill Bill (2003), Charlie’s Angels: Full Throttle (2003), Chicago (2002), Kung Fu Panda (2008), Detachment (2011) dan Kung Fu Panda 2 (2011).
Malah, kekerapannya membawakan watak antagonis menyebabkan Liu bosan dan berhasrat untuk memainkan peranan sebagai wanita yang romantis.
"Saya harap peminat tidak melihat saya sebagai pelakon yang tidak mempunyai emosi.
"Saya juga mahu menjadi seperti Julia Robert dan Sandra Bullock yang mampu menggalas pelbagai watak dan sentiasa diberi kepercayaan oleh pengarah," katanya.
Contoh artis bijak
Sebelum berkecimpung dalam bidang lakonan, Liu pernah menuntut di Universiti New York selama setahun dan kemudian berpindah ke Universiti Michigan dengan mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Bahasa Dan Kebudayaan Asia.
Sepanjang pengajiannya di universiti berkenaan, pelakon itu aktif dalam bidang seni dan pernah menyertai pementasan teater Alice In Wonderland semasa berada di tahun akhir.
Selain berkelulusan tinggi, Liu juga berkebolehan bertutur dalam lima bahasa iaitu Mandarin, Sepanyol, Itali, Jepun dan Perancis.
Terbaru, salah satu universiti terkemuka di dunia, Universiti Harvard menganugerahkan Liu gelaran Artis Tahun 2016.
Pengiktirafan itu diumumkan Yayasan Harvard sempena Festival Kebudayaan di universiti berkenaan.
Penghargaan itu diberikan kepada Liu selepas pihak yayasan meneliti sumbangannya dalam bidang seni persembahan, selain aktif dengan aktiviti kemanusiaan dan menjadi Duta Unicef.
Kembali jadi Master Viper
Dalam perkembangan lain, Liu kembali menjadi pengisi suara bagi watak Master Viper menerusi filem animasi hebat, Kung Fu Panda 3.
Kung Fu Panda 3 diarahkan Jennifer Yuh dan Alessandro Carloni merupakan kesinambungan daripada dua kejayaan filem sebelum ini.
Kata Liu, kali ini filem itu memberi makna yang sangat mendalam lantaran dirinya kini bergelar seorang ibu selepas dikurniakan seorang bayi lelaki, Rockwell Lloyd Liu pada Ogos lalu.
"Saya membesar dengan kartun-kartun Walt Disney.
"Kini, saya akan berkongsi pengalaman itu dengan dengan bayi saya," katanya.
Sekuel ini masih mengekalkan barisan pelakon latar suara iaitu Jack Black (Po), Angelina Jolie (Tigress), Dustin Hoffman (Master Shifu), Jackie Chan (Monkey), Seth Rogen (Mantis) dan Michelle Yeoh (Soothsayer).
Kung Fu Panda 3 mengisahkan Po yang kembali beraksi dan bakal disatukan kembali dengan ayah kandungnya. Mereka berdua mengembara ke sebuah tempat rahsia panda untuk bertemu dengan panda-panda lain, namun dia kemudian menyedari dirinya tidak selesa hidup di situ. Apabila penjahat Kai mengancam China, Po perlu sekali lagi menyelamatkan keadaan.
No comments:
Post a Comment