Tuesday 15 March 2016

Nasi 7 Beradik tepati selera timur




Nasi 7 Beradik tepati selera timur
Proses penyediaan nasi dilakukan oleh pekerja Asmahizan.
KALAU di utara tanah air, Nasi 7 Benua terhasil daripada kepelbagaian jenis nasi yang terdiri daripada nasi minyak, nasi tomato, nasi lemak, nasi hujan panas, nasi lemuni, nasi putih dan nasi kacang dalam satu hidangan, di pantai timur terutamanya di negeri Che Siti Wan Kembang, populariti Nasi 7 Beradik mula mencuri selera penggemar masakan lokal.
Biarpun cara hidangan itu lebih kurang sama, namun menu yang dihasilkan berbeza apabila hidangan ini menggunakan nasi, gulai dan rempah ratus yang dihasilkan 100 peratus dari Kelantan.
Memilih nama Nasi 7 Beradik, ia adalah ilham tujuh beradik ini dengan versi ketimuran, sesuai dengan tekak dan selera masyarakat di sini.
Pemilik The Siblings KB Food Delivery, Asmahizan Ab Ghani, 37, berkata, cara penyediaan nasi ini berbeza dengan Nasi 7 Benua Sungai Ara dan ia diolah mengikut idea adik beradiknya yang lain.
“Dalam hidangan itu, kami menyediakan tujuh jenis nasi yang sinonim dengan selera timur iaitu nasi kerabu, nasi dagang, nasi tomato, nasi daging, nasi serai kunyit, nasi putih dan nasi lemak pandan.
“Tujuh jenis nasi ini dipadankan dengan tiga jenis lauk iaitu sambal tumis telur, kerutuk daging tempatan dan ayam goreng berempah serta acar timun, sambal cili dan pencuci mulut agar-agar,” katanya yang menetapkan harga RM10 untuk satu bekas.

Tempahan 150 bekas sehari
Seawal jam 5 pagi, Asmahizan yang juga isteri anggota bomba Balai Kota Bharu akan memulakan proses pembuatan nasi dan lauk bersama empat pekerjanya yang tinggal di kuarters itu.
“Saya memilih untuk menyediakan hidangan seawal pagi bagi menjaga kualiti hidangannya agar mampu dinikmati sehingga malam. Semuanya saya buat pada waktu pagi.
“Untuk mempercepatkan proses hidangan, saya akan membahagikan tujuh jenis nasi itu kepada tiga pekerja. Setiap seorang akan menyediakan dua jenis nasi di rumah sendiri dan lauk akan dimasak bersama di rumah saya.
“Kebiasaannya, jam 11 pagi, saya sudah bersiap sedia untuk membuat penghantaran kepada pelanggan untuk dijamah pada waktu makan tengah hari,” katanya yang membuat penghantaran di sekitar bandar Kota Bharu, Kubang Kerian, Wakaf Che Yeh, Bachok, Pasir Puteh, Pengkalan Chepa, Pantai Cahaya Bulan dan Jeli.
Tambah Asmahizan, tempahan setiap hari sentiasa berubah dan ada ketika, dia dan pekerja perlu menyediakan hampir 200 bekas untuk dihantar ke lokasi yang dijanjikan.
“Kebiasaannya, saya menerima tempahan sekitar 150 hingga 160 bekas setiap hari. Kalau lebih dari itu, kita terpaksa kerja lebih masa sehingga jam 3 petang.
“Ada kalanya, pelanggan membuat tempahan dari jauh seperti di Machang dan Pasir Mas. Namun, saya menetapkan, sekiranya ada tempahan 40 bekas di satu-satu kawasan, barulah saya hantar kerana setiap penghantaran tidak dikenakan bayaran.
“Sebelum ini, saya buat pelbagai jenis hidangan termasuk ayam mangga, chicken chop, nasi beriani, nasi goreng pattaya, spageti dan laksa. Nasi 7 Beradik ini mula diperkenalkan pada 3 Mac lalu dan setelah melihat sambutan yang menggalakkan, saya hanya tumpu kepada nasi ini sahaja,” katanya lagi.

Rancang buka kedai
Melihat kepada penerimaan masyarakat terhadap nasi ini, Asmahizan turut merancang untuk melangkah setapak lagi dalam bidang perniagaan makanan.
Katanya, kini dia sedang mencari tapak kedai yang strategik untuk memulakan perniagaan ini secara lebih kondusif kerana sebelum ini, proses pembuatan hanya dilakukan di rumah sahaja.
“Insya-ALLAH, jika ada kedai yang bersesuaian, saya akan beralih ke kedai. Namun, untuk bulan Ramadan nanti, saya akan sewa tapak bazar di Stadium Sultan Muhammad IV untuk menjual nasi ini,” katanya.
Tambah ibu kepada lima anak ini, perniagaan atas talian yang diusahakannya ini berada di paras yang memberangsangkan atas kerjasama pekerjanya yang banyak membantu.
“Saya lebih gembira apabila mampu menyediakan ruang pekerjaan kepada golongan suri rumah anggota bomba seperti saya. Saya sudah anggap mereka seperti rakan kongsi saya.
“Dalam soal perniagaan, saya lebih mementingkan rasa dan kualiti makanan berbanding mengaut keuntungan semata-mata. Murah tak mengapa, asalkan ada tempahan setiap hari.
“Lebih menyeronokkan apabila pelanggan memberikan maklum balas yang positif dan turut membuat tempahan ulangan. Ini bermakna saya mampu memberi senyuman kepada mereka dalam bentuk hidangan,” katanya yang bakal memperkenalkan hidangan yang lebih kecil sebagai pilihan pelanggan.

No comments:

Post a Comment