Tuesday 15 March 2016

Kupadio KL penuhi kehendak wanita




Kupadio KL penuhi kehendak wanita
Fadiatul Aisya menunjukkan koleksi terbaharu Kupadio Kuala Lumpur yang dilancarkan, semalam.
NEKAD membantu wanita berkerjaya yang pastinya mahukan rekaan bergaya urban, ringkas, bersatail, anggun dan berketerampilan memberikan ilham kepada Pengasas Kupadio Enterprise, Tengku Fadiatul Aisya Tengku Mohd Roslan menghasilkan rekaan pakaian yang mudah dan praktikal. 
Lebih senang dipanggil Fadia Roslan, dia yakin koleksi pakaiannya dengan menggunakan jenama Kupadio Kuala Lumpur dapat memenuhi kehendak wanita dan menyasarkan golongan pertengahan.  
Bermodalkan RM20,000, Fadia Roslan tidak menoleh ke belakang lagi dan menceburkan diri dalam perniagaan pakaian sejak Mei tahun lalu, walaupun bukanlah mendapat pendidikan formal dalam bidang fesyen dan fabrik.
“Walaupun tidak pandai menjahit, saya meminati fesyen dan mahu wanita kelihatan anggun serta bergaya ke pejabat, majlis keraian dan sebagainya. Dengan memakai pakaian cantik dan menyenangkan akan memberikan keyakinan kepada mereka untuk bergaya ke mana sahaja,” katanya yang merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi Mara (UiTM).
Walaupun baru 10 bulan terlibat dalam perniagaan atas talian, Faida Roslan menyediakan pelbagai koleksi pakaian antaranya kardigan, palazzo, kaftan, skirt, blaus dan baju rekaan moden kontemporari yang menjadi pilihan generasi Y yang berumur antara 25 hingga 40 tahun.
"Sebelum terlibat dalam perniagaan Kupadio Kuala Lumpur, saya hanya suri rumah dan terlibat dalam perniagaan tudung secara kecil-kecilan sahaja. Saya pernah bekerja dan mengambil keputusan berhenti kerja pada 2010 kerana mahu fokus pada rumah tangga," katanya.
Ternyata, isteri kepada Areehan Abdullah ini tidak mahu mensia-siakan minatnya terhadap fesyen, terus merealisasikannya untuk menjana pendapatan sendiri.
"Saya masih hijau dalam bidang perniagaan ini. Alhamdulillah, berkat sokongan suami dan keluarga, Kupadio Kuala Lumpur dikenali dalam masa singkat sahaja dalam pasaran tempatan dan luar negara," katanya.

Ringkas digayakan
Fadia Roslan optimis rekaannya menepati kehendak wanita berkerjaya atau tidak sama ada yang bertudung atau tidak bertudung.
“Ia boleh digayakan ke mana sahaja kerana ia patuh Shariah serta bersaiz S, M dan L. Fabrik dan material yang digunakan berkualiti tinggi dan diimport dari luar negara. 
"Saya menggunakan jenis kain yang selesa seperti krep, spandeks satin yang sesuai di pakai dengan cuaca Malaysia. Saya seorang yang cerewet dan amat menitikberatkan aspek jahitan kerana mahu memenuhi cita rasa pelanggan dan memberikan keselesaan kepada mereka,” katanya.
Anak jati Pahang ini, bijak mengatur perniagaannya, kerana lebih 10 koleksi pakaian rekaannya mendapat sambutan pelanggan sama ada dalam dan luar negara.
Antara rekaan pakaiannya yang mendapat sambutan adalah Aisya Caftan, Touslips, Melati Top, Melati 2.0, Kirana, Adele dan Denim.

Bahagian tangan istimewa
Menariknya, Fadia Roslan mahu pemakai Kupadio Kuala Lumpur lebih anggun dan tampak berbeza daripada potongannya.  
“Dengan jahitan yang kemas, Kupadio Kuala Lumpur mempunyai daya tarikan yang istimewa di bahagian tangan yang lebih eksklusif kerana ia mudah dilihat.
“Bahagian tangan baju-baju rekaan saya dibuat slim, ruffles, flair sama ada bertingkat, besar dan singkat serta ringkas sahaja. Saya fokus kepada bahagian tangan kerana jika di bahagian leher, ia tertutup bagi mereka yang memakai tudung,” katanya. 
Fadia Roslan berkata, pakaian yang direkanya boleh dipakai kasual dan formal.

Boleh didapati di vendor
Dek kerana mendapat sambutan yang luar biasa, Fadiatul Aisya yang pada mulanya menjual hanya di Instagram sahaja, mengorak langkah menjual koleksinya di Twenty2, Bangsar dan MyAdinda untuk memberikan kemudahan kepada pelanggannya.
“Kebanyakan pelanggan berkunjung ke sana untuk melihat, merasai sendiri material dan fabrik yang digunakan. Selain itu, mereka juga akan membeli secara atas talian,” katanya.
“Kini MyAdinda beroperasi atas talian menjual koleksi pakaian dalam pasaran Eropah sejak beberapa minggu lalu. Antara koleksi yang mendapat permintaan tinggi ialah Tweed Top Fall Winter,” katanya.
Katanya, Kupadio Kuala Lumpur tidak merancang membuka butik dalam masa terdekat dan fokus terhadap jualan atas talian dan di vendor.
“Kupadio Kuala Lumpur juga akan mengeluarkan beberapa koleksi terbaharu pada tahun ini dan promosi istimewa sempena Hari Ibu dan Hari Raya Aidilfitri nanti. 
"Istimewanya pada sambutan Hari Ibu, Kupadio Kuala Lumpur akan menjual koleksi pakaian ibu dan anak yang menggunakan fabrik yang terbaik dan berkualiti. Ia akan mula dijual menjelang pertengahan April nanti, bermula pada harga serendah RM139 bagi kanak-kanak dan ibu RM179.

No comments:

Post a Comment